Iamneeta bermula dengan lagu-lagu cover popular dendangan Adele dan Avril Lagvine.

Dilamar NAR Record,  Iamneeta yang terdiri dari tiga anak muda berbeza bangsa, iaitu Neeta Manisha (Neeta), 19, Anas Zakwan Azhar (Anas), 20, dan Patrick Anohada (Patrick), 28, pastinya menarik perhatian masyarakat kerana gabungan mereka menggambarkan perpaduan di negara kita.

Menceritakan bagaimana tertubuhnya kumpulan tersebut, Neeta berkata bermula dengan perkenalan melalui laman sosial MySpace dia bertemu dengan Anas yang gemar jamming di rumah Patrick.

"Pada mulanya mereka sekadar bermain muzik secara suka-suka kerana ketika itu tidak terlintas di fikiran mereka untuk menubuhkan kumpulan.

"Malah mereka turut mencipta lagu dan bersepakat menghasilkan demo tetapi ketika itu ketiadaan penyanyi.

"Dari situlah Anas menjemput saya untuk bernyanyi dengan mereka sehingga tertubuhnya kumpulan ini," katanya yang menubuhkan kumpulan itu dua tahun lalu.

Percubaan pertama mereka sebagai satu kumpulan adalah dengan menghasilkan lagu cover iaitu Rolling In The Deep yang dipopularkan Adele di laman Youtube.

Setelah jumlah view semakin meningkat setiap hari, mereka mula berbincang untuk lebih serius dan lamaran daripada syarikat rakaman membuka luas peluang mereka untuk bergelar artis.

"Biarpun ramai yang mencuba untuk hidup dalam kelompok pemuzik tempatan dan berhadapan dengan cabaran ketika di awal penubuhan kumpulan ini.

"Banyak band yang turut memperjuangkan muzik pop alternatif namun muzik kami amat berbeza dengan band menggunakan genre yang sama.

"Perbezaannya terletak pada melodi yang lebih versatil atau dalam erti kata lain, ia dapat dinyanyikan dengan pelbagai cara," ujar Neeta.

Walaupun kumpulan itu hanya dianggotai tiga ahli, Neeta menegaskan mereka akan mengekalkan ahli yang ada dan tiada sebarang penambahan ahli baharu.

Katanya, dia selesa bekerja dengan Anas dan Patrick sejak kumpulan itu ditubuhkan dua tahun lalu.

"Jatuh bangun kami lalui bersama dan kami pula selesa bekerjasama dengan ahli yang ada.

"Buat masa ini tiada perancangan untuk menambah bilangan ahli.

"Cukuplah kami bertiga dari awal Iamneeta ditubuhkan sehingga ke akhirnya," jelas gadis kacukan Cina-India berasal dari Kedah itu.

Tegasnya, kehadiran kedua rakannya itu sedikit sebanyak mengurangkan rasa gementar ketika berada di atas pentas kerana Neeta takut untuk menyanyi di atas pentas.

"Tanpa Anas dan Patrick, saya pasti gugup untuk berhadapan dengan penonton dan ia antara sebab saya menolak tawaran dalam satu pertandingan ketika saya berusia 12 tahun.

"Sebab itulah saya lebih selesa menyanyi bersama band. Kehadiran mereka berdua sangat-sangat penting kerana Iamneeta digerakkan oleh tiga anggotanya,” katanya.

Sementara itu, Patrick menjelaskan setiap ahli mempunyai fungsi masing-masing dan mereka saling melengkapi kekurangan setiap ahli.

Selaku gitaris kumpulan itu, anak kelahiran Sabah itu bertindak sebagai pencipta lagu dan penulis lirik.

Selain lagu Tuhan Tolong Aku yang berjaya menaikkan nama band tersebut, mereka juga mula diterima oleh masyarakat.

Dek penerimaan yang positif, Patrick turut mencipta pelbagai lagu baru termasuklah Terima Kasih, Jatuh Cinta dan Marry Me.

"Lagu Terima Kasih kini kian menjadi pilihan untuk diputarkan radio-radio tempatan.

"Mulanya saya agak takut dengan penerimaan pendengar namun lagu ini ternyata mendapat sambutan positif kerana melodinya yang santai," ujarnya yang juga ketua kumpulan itu.

Biarpun nama band itu semakin diterima dan dikenali ramai, namun ada cakap-cakap kosong bahawa Iamneeta menumpang populariti artis remaja, Najwa Latif.

Lagu ciptaan Patrick, Kau Pergi Jua dinyanyikan secara duet bersama Najwa sehingga berjaya menawan pendengar radio tempatan.

Walaupun menerima pelbagai persepsi negatif, Neeta menegaskan kerjasama itu bukannya menumpang populariti Najwa.

"Kami tidak pernah terlintas untuk menumpang populariti mana-mana artis sebagai batu loncatan meningkatkan populariti band ini.

"Malah sejak dari awal kami sudah berazam untuk bergantung pada kebolehan masing-masing bukannya kontroversi murahan," tegasnya.

Katanya, koloborasi itu diadakan kerana mereka sama-sama artis di bawah naungan NAR.

"Sesuai dengan sasaran pendengar iaitu remaja, ia merupakan salah satu sebab kami memilih Najwa.

"Suara Najwa juga serasi dengan muzik kami yang berpaksikan genre alternatif pop rock," ujar Neeta.

Dalam perkembangan lain, kumpulan tersebut juga bakal muncul dengan klip video lagu Jatuh Cinta pada awal tahun ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top