Zamir dinobat Juara MasterChef Malaysia All Star

Zamir, peserta paling muda diumumkan sebagai juara MasterChef Malaysia All Star sekali gus menumpaskan pesaingnya, pengacara Celina Khor.

Kemenangan itu melayakkan Zamir atau nama sebenarnya, Arshad Zamir Mohd Azmi, 21, menerima wang tunai bernilai RM55,000 yang akan disumbangkan kepada badan kebajikan Rumah Teduhan Kasih.

Zamir sebelum ini pernah menyertai MasterChef Malaysia musim pertama pada 2012 dan menjadi peserta empat terbaik.

Hadiah disampaikan Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli selepas Majlis Tayangan Episod Kemuncak MasterChef Selebriti Malaysia yang diadakan di First Avenue, Bandar Utama di sini.

Zamir ketika ditemui berkata, tidak menyangka kemenangan tersebut namun ia adalah antara pengalaman manis sepanjang kariernya dalam bidang kulinari.

Malah katanya, dia sebenarnya berasa gementar perlu berhadapan dengan Celina yang disifatkan sebagai tukang masak berbakat.

“Alhamdulillah, saya tidak menyangka kemenangan ini kerana tidak menjangka yang dapat pergi sejauh ini.

"Saya banyak belajar mengenai dunia masakan dalam pertandingan ini,” katanya.

Dalam pertandingan tersebut Zamir tampil dengan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut.

Pada episod terakhir itu, Zamir memilih untuk menghidangkan Sup Cendawan sebagai pembuka selera, Sea Bass Gone Wild (hidangan utama) dan Kek Angle (pencuci mulut).

Manakala Celina menghidangkan Fiesta Makanan Laut (pembuka selera), Dua Benua (hidangan utama) dan Kek Coklat Lava (pencuci mulut).

Zamir dan Celina memberikan persaingan sengit di antara satu sama lain pada pertandingan akhir.

Barisan juri yang mengadili hidangan kedua-dua peserta itu adalah Chef Johari Edrus, Chef Zubir Md Zain dan Chef Adu Amran.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top