Nadiya Nisaa bercadang mahu mengurangkan kemunculannya di televisyen pada 2014 demi memberi perhatian dalam bidang penulisan skrip.

Nadiya yang ditemui pada majlis sidang media teater Jam Dinding Yang Berdetak arahan Aloeng Silalahi di Istana Budaya (IB), kelmarin berkata dia sebenarnya baru selesai mengikuti kelas penulisan yang disertai selama enam minggu.

"Saya menyertai kelas penulisan kerana ingin cuba menghasilkan skrip sendiri. Apatah lagi, saya juga meminati penulisan dan mengharapkan semoga 2014 ini peluang untuk skrip saya diketengahkan menjadi kenyataan.

"Bagaimanapun, menulis skrip bukan kerja yang mudah. Lebih-lebih lagi, bagi orang seperti saya yang kurang minat membaca novel atau buku cerita. Jadi, ia sedikit sebanyak menyukarkan saya," katanya.

Menurut Nadiya lagi, walaupun kurang minat membaca, tetapi ia bukan penghalang untuknya berusaha menjadi penulis skrip yang baik. Ujarnya, ada kaedah lain juga yang boleh membantu ke arah menulis skrip yang baik iaitu perlu ada minat menonton filem, mendengar muzik dan pergi melancong.

Jadi, katanya, berpandukan kepada beberapa kaedah yang boleh dijadikan rujukan itu, dia yakin dapat membantu merealisasikan impiannya untuk menghasilkan skrip tulisan sendiri.

Bahkan, harapan Nadiya lagi, jika skrip tulisannya tidak berpeluang dijadikan karya filem, ia memadai sekiranya naskhah itu dihasilkan untuk supertelefilem bagi tayangan Astro First Eksklusif (saluran 480).

Menyentuh kebimbangannya terhadap populariti diri yang akan 'menghilang' jika aktif menulis di belakang tabir, Nadiya berkata, keutamaannya pada lakonan takkan dilupakan begitu saja.

Nadiya tidak bimbang namanya `tenggelam' kerana sepanjang 2013, dia sudah menyiapkan banyak projek lakonan.

"Setakat ini, saya ada tiga filem yang dijangka menemui penonton di pawagam pada 2014 iaitu Pengapit, Gila Baby dan Bikin Filem. Saya juga banyak berlakon telefilem.

"Berbekalkan projek lakonan yang sudah siap itu rasanya nama saya takkan tenggelam. Apatah lagi, pembabitan dalam penulisan juga tidak menghalang saya untuk menerima tawaran berlakon.

"Saya akan terus berlakon cuma akan memilih watak yang betulbetul sesuai dan juga saya mampu memberikan komitmen," katanya.

Ibu kepada seorang cahaya mata, Omar Saiful Razman, berusia 2 tahun ini baru menyiapkan draf pertama skrip.

"Saya akan berusaha menyiapkan skrip itu kerana tidak mahu ilmu yang dipelajari membazir begitu saja," katanya.




0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top