Zatul kena mohon maaf pada Mohd

Juara Mentor 4, Mohd yang dibebaskan daripada tuduhan merogol Noor Nazatul Farahin atau Zatul, tahun lalu, memberi tempoh tiga bulan kepada peserta program Mentor musim keenam itu untuk memohon maaf secara terbuka.

Mohd atau nama sebenarnya Mohd Izwan Mohd Nor berkata, tindakan itu perlu kerana beliau mahu membersihkan namanya yang sudah tercalar.

"Hasil siasatan mendapati tiada bukti mengesahkan saya melakukan perbuatan rogol seperti didakwa.
Selama empat hari siasatan dijalankan termasuk menjalani ujian DNA. Tuduhan merogol itu benar-benar memberi tekanan kepada saya sehingga saya menangis setiap malam mengenangkan perkara itu. Bukan sekadar memberi tekanan mental, ia juga menjejaskan periuk nasi saya apabila tugas sebagai Duta Kementerian Pengajian Tinggi ditarik balik. Justeru, saya memberi tempoh tiga bulan kepada Zatul untuk berjumpa dengan saya dan memohon maaf secara terbuka supaya nama buruk saya kembali jernih," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran singlenya, Segala, di Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Mohd turut ditemani peguamnya, Dony Abdullah, dan kakaknya, Norlisa Mohd Nor.

Ditanya adakah beliau ada menghubungi protege Fauziah Datuk Ahmad Daud itu sebaik saja kebenaran terbukti, Mohd mengaku tidak berbuat demikian.

"Selepas timbul kes ini, pihak kami dihalang untuk melakukan sebarang komunikasi dengannya sehinggalah ke hari ini," terang anak didik kepada Ziana Zain ini.

Mengenai tindakan mengambil masa terlalu lama untuk menjelaskan perkara ini, biarpun dimaklumkan oleh pihak berkuasa dirinya tidak bersalah seminggu sebelum sambutan Aidilfitri tahun lalu, Dony berkata, Mohd mahu menjelaskan perkara itu berserta dengan bukti.

"Sepatutnya pada hari ini beliau (Mohd) ingin menunjukkan kepada pihak media surat daripada pihak polis yang menyatakan dirinya bebas daripada tuduhan rogol. Bagaimanapun, surat itu masih berada dalam simpanan pihak polis dan jika ada yang masih ragu-ragu, bolehlah merujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya," jelasnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang juga juara program realiti direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

Jika sabit kesalahan, penyanyi berkenaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang dikatakan teman wanita penyanyi terbabit dirogol kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 31 Januari 2013 di rumah pemuda itu di Ukay Perdaya, Ampang.

Sementara itu, Mohd mengharapkan lagu Segala mampu membuka lembaran baru dalam hidupnya selepas ini.

"Saya mahu membina hidup baharu dan melupakan apa yang berlaku. Fokus saya kali ini adalah untuk lebih aktif dalam nyanyian.

Bukanlah bermakna sebelum ini saya tidak aktif menyanyi. Cuma saya mahu menyanyi tanpa ada perasaan prejudis atau skeptikal daripada pihak luar.

Mohd membelanjakan RM10,000 daripada sakunya sendiri untuk merakamkan lagu ciptaan Akir Hyperact dan Frozen itu, yang turut menghiasi drama Playboy Itu Suamiku.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top