Hairul Azreen dan Dazrin Kamarudin dinobatkan sebagai juara FFSM yang pertama.

Berlangsung selama 13 minggu di bumi Capeteown, Afrika Selatan dan terpaksa menempuhi perubahan cuaca, 26 cabaran lasak yang berbeza serta menghadapi pelbagai kecederaan, persaingan Fear Factor Selebriti Malaysia (FFSM) akhirnya sampai ke kemuncak.

Gandingan mantap menewaskan 14 pasangan lain mencipta rekod baru dalam dunia selebriti apabila pasangan ideal.


Sebelum disahkan menang, mereka terpaksa bertanding dengan tiga pasangan selebriti lain pada peringkat akhir dan segala dugaan yang dihadapi bertukar menjadi kenangan paling manis buat mereka berdua. Dazrin berkata, sokongan padu ibu bapa menjadi dorongan utama sepanjang berada dalam persaingan cabaran itu.

"Selain itu persefahaman dengan rakan sepasukan memainkan peranan utama dan terima kasih juga kepada peminat terutama daripada kelab peminat saya Flying D's yang tidak henti-henti mendoakan kejayaan kami di Afrika Selatan.

"Walaupun terlalu berdebar sewaktu berhadapan cabaran, kami ketepikan segala getaran yang melanda," katanya.

Dinobatkan sebagai juara, mereka masing-masing mempunyai kelemahan diri apabila berdepan situasi yang tidak dijangkakan.

"Cabaran yang paling ngeri apabila terpaksa berhadapan dengan ular. Ketika itu terdapat pelbagai spesies ular di dalam kotak yang perlu saya pindahkan ke kotak lain dalam masa paling singkat. Binatang itu membuatkan saya rasa geli dan takut. Namun, selepas berhadapan situasi itu, saya dapat mengatasi masalah fobia dengan ular," katanya.

Hairul pula berkata, dia menggalas tugasan yang amat berat sewaktu melangkah masuk ke program itu.

"Kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri dan kemenangan pada minggu pertama sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya. Namun, saya melihat cabaran ini dari sudut positif dan berusaha sehingga ke peringkat akhir. Saya juga membuktikan bahawa selebriti yang sering digelar `jambu' juga berupaya melakukan pelbagai aktiviti ngeri," katanya.

Akur kepada kelemahan diri, dia meletakkan dirinya sebagai penyahut cabaran untuk mara ke peringkat seterusnya.

"Setiap cabaran wajib ditempuhi peserta. Walaupun takut lipas, pada masa itu saya mesti buktikan tiada satu faktor pun yang dapat menghalang saya dan Dazrin mara ke hadapan," katanya.

Dengan kemenangan itu mereka menerima hadiah wang RM200,000 di samping wang tunai terkumpul RM20,000 melalui ganjaran hadiah yang dimenangi sewaktu sesi cabaran mingguan.

Masing-masing memasang niat murni apabila Hairul ingin menunaikan haji bersama kedua-dua orang tuanya manakala Dazrin pula ingin menyumbangkan sejumlah wang kepada anak yatim.

"Terima kasih Astro khususnya Astro Ria kerana peluang kepada selebriti untuk membuktikan kepada masyarakat mengenai keberanian kami," kata Hairul lagi.

FFSM dikendalikan Aaron Aziz.

Pusingan akhir yang disiarkan semalam menyaksikan dua cabaran lasak yang perlu ditempuhi empat pasangan selebriti.

Cabaran pertama, `Catapult To Net' , tetapi malangnya, pasangan Zoey dan Dafi serta Ajak dan Elfira tersingkir pada pusingan itu.

Dazrin dan Hairul serta Hefny dan Hafizul mara ke pusingan seterusnya iaitu pusingan penentu juara FFSM. Mereka di bawa ke sebatang jalan di Durbanville untuk melakukan aksi stunt terakhir yang dinamakan Car Canon.

Dalam aksi itu, setiap pasukan perlu meletupkan kereta supaya melambung dan terseret ke hadapan. Salah seorang jadi pemandu dan seorang lagi menekan butang letupan. Pasukan yang berjaya menghentikan kereta paling hampir dengan pusat sasaran adalah juara bagi FFSM pertama.

Rancangan itu yang bersiaran sejak 29 Disember tahun lalu melalui Astro Ria menjadi fenomena di Malaysia apabila mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penonton. Malah, kejayaan rancangan realiti seperti FFSM membuktikan sekali lagi Astro Ria sangat komited dalam memberikan kepuasan maksimum kepada penonton di samping menjadi saluran hiburan Melayu utama di negara ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, pihaknya menerima pelbagai maklum balas daripada peminat rancangan itu yang rata-ratanya inginkan rancangan itu diteruskan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top