Sinopsis Wasilah Cinta

Wasilah Cinta mengisahkan Azman lakonan Zamarul Hisham dan isterinya Zaiton (Jasmin Hamid) yang hidup bahagia di samping tiga anak mereka, Maisara (Syatilla Melvin), Hisyam (Azrel Ismail) dan Redzuan.

Sikap penyayang dan kejayaan Azman dalam perniagaan menjadikan dia idola di mata keluarganya.

Bagaimanapun, kebahagiaan yang melimpahi Azman sekeluarga tidak berpanjangan apabila dia ditimpa penyakit berbahaya. Kejadian bermula apabila pada satu hari ketika serius bekerja di pejabat, Azman merasakan saraf tunjangnya begitu sakit dan kesan kesakitan itu mencengkam bahagian depan kepala.

Selepas menjalani pemeriksaan, Azman disahkan menghidap kanser tahap empat. Bagaimanapun, demi kebahagiaan dan kegembiraan keluarganya, Azman mengambil keputusan untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan keluarga.

Azman tidak sanggup melihat isteri dan anak-anak menderita. Seboleh mungkin, Azman cuba menyembunyikan penyakitnya dan berlagak seperti biasa ketika di rumah.

Bagaimanapun, Zaiton dapat mengesan perubahan pada Azman. Zaiton mula mendesak untuk mengetahui masalah yang sedang dihadapi Azman, namun Azman hanya memberi alasan dalam usia tua sepertinya sekarang, dia perlu banyak muhasabah diri dan memohon keampunan daripada Allah.

Zaiton yang tidak berpuas hati, berbincang dengan anak-anak mengenai perubahan sikap Azman. Reaksi anak-anak dan isteri menyebabkan Azman semakin tertekan. Dia sedar Zaiton dan anak-anak begitu menyayanginya, tetapi Azman tidak mempunyai kekuatan untuk berterus terang.

Namun, kebahagiaan keluarganya bergolak sejak Azman bertemu semula Aisyah (Lisdawati) yang juga rakan baiknya ketika di kampung dulu. Aisyah yang kematian suami sejak 10 tahun lalu terpaksa membawa teksi untuk menyara dua anaknya.

Dalam kebingungan itu, Azman meluahkan kemelut yang dihadapinya kepada Aisyah. Aisyah bersimpati dan menasihati Azman berterus terang dengan keluarga tetapi Azman tetap dengan pendiriannya tidak sanggup melihat keluarganya menderita kerana dia.

Tindakan Azman merahsiakan perkara itu mula menimbulkan perasaan curiga dan salah faham kepada keluarganya sendiri sehingga membuatkan dia membawa diri.

 Wasilah Cinta

Penerbit: Suhan Movies & Trading Sdn Bhd

Pengarah: Murali Abdullah

Pelakon: Zamarul Hisham (Azman), Jasmin Hamid (Zaiton), Lisdawati (Aisyah), Syatilla Melvin (Maisara), Azrel Ismail (Hisyam), Aishah Ilias (Qistina), Syazwan Zulkifli (Shahrol), Aleza Shahdan (Ramlah), Othman Basri (Zaim) dan Zaid Zahari (Dr. Kamal)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top