Salwa lupakan `Arrora'
"Nama itu terlalu menyakitkan." Itulah luahan hati penyanyi lagu Ahmad, Salwa Razak, 27, apabila diajukan pertanyaan mengenai keputusannya menggunakan nama sebenar berbanding sebelum ini, Arrora Salwa.
Kata Salwa, pada awal kemunculan, dia menggunakan nama Arrora sebagai identiti diri kerana ia mudah diingati. Namun, disebabkan terlalu banyak perkara negatif sepanjang menggunakan nama itu, dia akhirnya mengambil keputusan menggunakan nama sebenar.
"Jika dilihat makna Arrora, ia bermaksud cahaya terang di langit pada latitud tinggi dan selalunya terjadi di kawasan Artik dan Antartika.
"Malangnya, belum sempat bersinar seperti cahaya, saya terpaksa melupakan nama itu.
" Terlalu berat untuk melepaskan nama yang sinonim dengan diri saya tetapi demi memulakan lembaran baru, saya sanggup lakukannya supaya dapat mencapai tujuan asal menceburi bidang seni," katanya.
Salwa akui sedih melepaskan nama yang lama digunakan sebagai anak seni dan ramai mengenalinya dengan nama itu.
Bagaimanapun, katanya, apabila memikirkan perkara pahit yang dilalui sepanjang menggunakan nama itu, ia sangat memedihkan.
"Terlalu banyak kenangan pahit yang ingin saya lupakan. Sebab itu sejak Oktober tahun lalu, saya mula menggunakan nama sebenar. Rasanya, lebih baik saya gunakan nama yang diberi orang tua," katanya.
Antara memori yang ingin dilupakan Salwa adalah kontroversi membabitkan bekas anggota kumpulan Max:247, Mohd Fairuz Shaari (Alloi) yang mendakwa dia menggunakan khidmat bomoh untuk menaikkan namanya.
Tidak cukup dengan itu, Salwa juga dituduh bersekedudukan dan bertindak biadab terhadap keluarga bekas teman lelakinya. Walaupun mengambil pendekatan berdiam diri, ia membuatkan hatinya terguris.
Katanya, menggunakan nama baru bukan perisai yang dapat menghentikan masyarakat terus bercakap mengenai kisah lalunya, tapi setidak-tidaknya permulaan baru ini umpama kertas putih yang bakal dicorakkan.
"Saya bersedia dengan nama baru ini. Lama juga saya berehat, kini masanya saya bekerja keras untuk bersaing dengan pendatang baru di lapangan seni.
"Walaupun hakikatnya saya boleh dikatakan lebih lama berbanding mereka, itu bukan masalah. Saya juga ingin kembali aktif walaupun terpaksa bermula dari bawah," katanya.
Mula jadi penyanyi sejak 2004, bekas anggota polis itu sempat bernaung di bawah label Sony Music selama dua tahun.
Selepas lagu Ahmad berjaya menarik perhatian pendengar, Salwa senyap tanpa produk baru.
Salwa akui tidak tahu di mana silapnya hingga dia sukar mencari peluang untuk mengukir kejayaan.
Apapun, katanya, dia ingin berfikiran positif dan kembali bangkit mempertaruhkan lagu baru, hidup baru dan berharap ia mampu menjadi titik permulaan untuknya dikenali ramai.
"Saya senyap tapi bukan diam begitu saja. Saya cuba mencari orang yang boleh dipercayai untuk menguruskan kerjaya saya. Saya percaya jika kita dikelilingi orang baik, kita juga akan menjadi seperti mereka.
"Alhamdulillah, saya bertemu orang yang dapat membantu saya mencapai impian. Kini saya bernaung di bawah label JJ Solution Sdn Bhd milik Junita Jaafar yang juga bertindak sebagai pengurus saya," katanya.
Turut menceburi bidang lakonan melalui rantaian drama Operasi D6 mengisahkan tugas anggota pencegah rasuah.
Pengalamannya sebagai bekas anggota polis selama tujuh tahun memudahkannya menghayati watak itu.
Walaupun tidak pernah mengendali kes rasuah, Salwa seronok menyarung pakaian seragam. Tidak hairan Salwa kelihatan selesa dengan wataknya sebagai polis dalam filem Kerat 14.
Salwa akui merindui kerjaya lamanya sebagai polis tetapi kini impiannya ingin dikenali sebagai penyanyi dan pelakon.
"Seronok juga bekerja sebagai polis, tetapi saya memilih menjadi anak seni. Biar saya lakukan satu pekerjaan pada satu masa. Susah juga bila ada dua komitmen," katanya.
Titik panas hidup Salwa
* Nama sebenar: Salwa Md Razak
* Berkhidmat sebagai polis pangkat Lans Koperal di Kuala Selangor dan berhenti pada 2010.
* Usop Kopratasa dan Lann A To Z antara yang membimbingnya
* Dikatakan berkahwin dengan VIP ketika bekerja sebagai polis
* Digosip tak bayar hutang dan tinggal serumah dengan kekasih
* Putuskan hubungan dengan Alloi menjelang majlis pertunangan pada 9 Jun 2012
* Perang mulut dengan Alloi di laman sosial yang menuduhnya kaki bomoh untuk popular
0 ulasan:
Catat Ulasan