Sinopsis Sebenarnya Saya Isteri Dia
Sebenarnya Saya Isteri Dia! menghidupkan gelagat pasangan muda yang tidak sekepala selepas dipaksa kahwin. Izzue yang memegang watak Firash, seorang pelajar universiti dalam jurusan kejuruteraan lebih muda empat tahun berbanding watak Syaf lakonan Tiz, graduan universiti yang sudah mula bekerja sebagai jurutera.

Tidak pernah terlintas dalam fikiran Firash ataupun lebih dikenali sebagai Chad di kalangan kawan-kawannya bahawa dia dijodohkan pada usia 21 tahun. Firash yang terpaksa berkahwin dengan kekasih abangnya itu akibat peristiwa hitam yang terjadi pada majlis hari jadi Rania (Uqasha Senrose). Tanpa mereka sedari, Rania dan abangnya, Raimy (Azlee Khairi) masing- masing berpasang niat jahat untuk bermesra dengan Firash dan Syaf.

Sebenarnya Saya Isteri Dia

Namun, ia tidak berlaku seperti dalam rancangan mereka apabila Firash dan Syaf terambil minuman yang sudah diletakkan ubat khayalan dan tidur sebilik dalam keadaan mencurigakan. Ekoran kejadian itu, Firash bertengkar besar dengan abangnya, Farish (Fezrul Khan) yang menuduhnya terlanjur dengan Syaf.

Ibu mereka, Datin Farizah mencadangkan Firash berkahwin saja dengan Syaf kerana nasi sudah menjadi bubur, kahwin adalah jalan penyelesaian terbaik demi menjaga maruah keluarga. Firash menentang habis-habisan kerana tidak sanggup berkahwin pada usia muda tambahan pula Syaf lebih tua empat tahun daripadanya. Farish juga tidak bersetuju. Syaf yang menganggap dirinya sudah tidak suci dan tidak layak untuk Farish bersetuju dengan cadangan itu.

Perkahwinan antara Syaf dan Firash diteruskan juga tetapi dilakukan secara rahsia seperti yang dipinta Firash. Hanya Firash, Farish, Syaf dan Datin Farizah yang tahu pasal status sebenar mereka. Pada hari berlangsungnya akad nikah, Farish membawa diri kerana tidak sanggup melihat kekasihnya dinikahkan dengan adik sendiri, akhirnya terbabit dalam kemalangan maut. Lebih memilukan hati Syaf apabila dia tidak dibenarkan untuk hadir ke majlis pengebumian Farish kerana tidak mahu rahsia terbongkar.

Selepas berkahwin, Firash dan Syaf tinggal berasingan di rumah bujang masing-masing. Apabila berjumpa, Firash sering melemparkan kata-kata sinis kepada Syaf dan tidak pernah berbaik-baik dengannya. Sifat keanak-anakan dan keegoan Firash sering mengguris hati Syaf, namun dia hanya bersabar dan menelan semuanya.

Apabila Syaf bertemu semula dengan rakan universitinya, Haqimy (Qi Qushairi) yang juga abang sepupu kepada Firash, keserasian mereka berdua menimbulkan rasa cemburu Firash. Tambahan pula Syaf ditukarkan ke Kerteh, Terengganu dan berkerja di syarikat sama dengan Haqimy.

Firash juga menjalani latihan praktikal di sana, tidak dapat menahan rasa marahnya apabila melihat Syaf seolah-olah senang hati berada di sisi Haqimy. Barulah Firash sedar dia telah jatuh hati dengan isterinya dan mula mengambil hati Syaf. Apakah yang akan terjadi seterusnya?

Sebenarnya Saya Isteri Dia! bermula 29 Mac 2013 setiap Jumaat jam 9 malam menerusi slot Zehra di TV3. Drama bersiri 13 episod ini terbitan Primeworks Studios arahan Raja Ahmad Alaudin yang juga di adaptasi daripada novel popular - Sebenarnya Saya Isteri Dia! karya Zura Asyfar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top