Fobia dengan ikatan pertunangan yang terlerai di tengah jalan, bintang Appalam, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau Raja Ilya, mahu berehat seketika daripada memikirkan soal cinta.
Bahkan kata wanita berusia 28 tahun ini, dia tidak kisah andai ditakdirkan bergelar anak dara tua.
Bukan serik dengan kegagalan lalu, namun apa yang dilalui terlalu berat untuk ditanggungnya.
Gambar panas punca putus tunang
Penyebaran gambar `panas' dilaman gosip hampir dua tahun lalu menjadi punca yang memutuskan hubungan Raja Ilya dengan tunangnya, sekali gus melenyapkan hasrat wanita ini untuk bergelar isteri.
"Bukan serik, cuma saya fobia dengan apa yang berlaku. Penyebaran gambar itu memusnahkan ikatan pertunangan kami. Sejak putus tunang lebih setahun lalu, saya enggan lagi memikirkan soal cinta.
"Mungkin saya tidak sesuai untuk mempunyai komitmen dengan sesiapa. Barangkali juga saya lebih selesa hidup sendiri. Malah, sejak apa yang berlaku, keinginan untuk berkahwin bagai sudah tiada.
"Namun, saya tidak menolak ketentuan takdir. Andai satu hari nanti ditakdirkan bertemu jodoh, saya terima. Tetapi saya tidak akan mencarinya dan kalau ada jodoh sekalipun, mungkin bukan dalam waktu terdekat," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Epilog Cinta Khirana di Shah Alam, Selangor, barubaru ini.
Membawakan watak seorang model dalam drama terbitan Zeel Production itu, wanita kelahiran Ipoh, Perak, ini bersyukur kehadiran semulanya ke dalam industri lakonan diterima baik.
Mujur sepanjang dua tahun dia menyepikan diri, masih ada sutradara yang tetap mengingati namanya.
Raja Ilya mengakui, meninggalkan bidang lakonan ialah keputusan sia-sia pernah dibuatnya. Demi menjaga hati bakal suami dan keluarga mentua, dia turuti kehendak mereka yang tidak mahu dirinya terbabit dalam dunia seni. Namun, pengorbanannya siasia apabila dia tetap ditinggalkan juga.
"Sepatutnya waktu itu saya membantah dan tidak ikuti kehendak mereka. Kononnya, dalam tempoh meninggalkan dunia lakonan, kami merancang untuk berkahwin. Walaupun sudah memenuhi permintaan mereka, tetapi ikatan pertunangan tetap terlerai.
"Mujurlah walaupun hampir dua tahun meninggalkan bidang lakonan, kehadiran semula saya nampaknya diterima. Kebanyakan tawaran yang saya terima datangnya daripada mereka yang pernah bekerja dengan saya sebelum ini seperti Joeza Rasidi, yang menawarkan saya berlakon dalam drama episod Mana Hilangnya Juwita.
"Ketika melangkah kembali ke dalam arena seni, saya bimbang juga seandainya perlu bertatih dan perlu bersusah payah mencari ruang untuk kembali memperkenalkan nama.
"Alhamdulillah, saya tidak perlu melintasi laluan yang sukar untuk kembali," katanya yang juga bakal membintangi filem Pilot Cafe, arahan Osman Ali.
0 ulasan:
Catat Ulasan