Nama komposer terkenal seperti Aidit Alfian bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air. Justeru, selepas berjaya mengetengahkan bakat Ana Rafalli di persada muzik tempatan, kini Aidit muncul dengan taruhan baru, Siti Khadijah Cooke yang dicungkil bakatnya menerusi satu pertandingan muzik.
Gadis kelahiran Taiping, Perak ini juga diberi ruang untuk tampil dengan single ciptaannya sendiri, Terbang bagi diperdengarkan kepada orang ramai. Memilih genre pop, Khadijah atau nama sebenarnya Siti Khadijah Abdul Rahim Cooke memaklumkan dia seronok bekerjasama dengan Aidit.
Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, Khadijah berkata, lagu Terbang ciptaannya dihasilkan menjurus pada kisah cinta yang dirasainya.
Kata gadis berusia 23 tahun itu, ia lebih kepada ekspresi diri sendiri dan memandangkan ini percubaan baru, dia cukup terharu dengan keyakinan Aidit kepadanya.
"Sebenarnya minat saya pada muzik timbul sejak kanak-kanak lagi. Bapa adalah tulang belakang yang bertindak sebagai pendorong pada minat ini. Bersama bapa juga, saya belajar bermain gitar dan kami banyak berlatih memainkan lagu dari kumpulan muzik The Beatles dan The Carpenters.
"Selain itu, saya juga mengembangkan bakat seni dimiliki dalam penciptaan lagu. Malah, sejak berusia 19 tahun lagi, saya sudah mula membabitkan diri pada penciptaan lagu dan di atas sokongan padu keluarga, saya memahat keyakinan serta usaha untuk mencuba nasib dalam dunia seni suara pula," katanya.
Masih menuntut di Kolej Universiti SEGi Damansara dalam bidang rekaan grafik, Khatijah yang turut memilih tampil dengan imej bertudung memaklumkan keputusan berhijab dibuatnya bukan atas terpaksa. Dia yang mengakui baru bertudung berkata sangat bersyukur kerana mendapat hidayah awal.
"Saya tampil sebagai penyanyi bertudung bukan disebabkan mengikut artis lain, tetapi atas kerelaan sendiri. Apapun saya berharap bakat nyanyian serta lagu saya diterima baik.
"Justeru, dengan keyakinan diri yang semakin dibentuk, saya yakin mampu berjaya dengan peluang diberikan," katanya memberitahu segala urusan berkaitan kerjaya nyanyian diceburi diurus di bawah syarikat Aidit Alfian Records.
Turut memperoleh kerjasama daripada syarikat rakaman Universal Music yang bertindak selaku pengedar bagi single sulungnya itu, Khadijah berkata, single Terbang berkemungkinan akan dilancarkan sekitar April ini.
Pengalaman bekerja dengan Aidit untuk melakukan proses rakaman lagu menyeronokkan kerana baginya, Aidit seorang komposer yang menyenangkan membuatkan dia cukup selesa sepanjang proses rakaman.
Mengakui suka bermain gitar seorang diri di dalam bilik, Khadijah yang ditanya mengenai pandangannya mengenai memuatkan lagu nyanyian sendiri di Youtube memberitahu dia tidak mempunyai akaun di laman sosial kegemaran ramai itu.
Menurut Khadijah, setakat ini pun dia tidak mempunyai banyak koleksi lagu sendiri untuk dimuat turun. Jadi, katanya menerusi peluang kerjasama dengan Aidit ini sudah cukup untuknya cuba mengetengahkan bakat diri. Bahkan, apa yang paling utama adalah semoga lagu yang diperdengarkan itu mendapat perhatian.
HM
~
0 ulasan:
Catat Ulasan