Teater Hantu Ketapang

Teater Hantu Ketapang mengisahkan Ketapang (Fairuz Selamat), seekor hantu jantan yang hidup di sebatang pokok ketapang dalam sebuah kampung. Kebetulan kedudukan pokok itu terletak di tengah-tengah laluan orang kampung keluar masuk untuk ke bandar. Kekecohan terjadi apabila Ketapang yang diberi tempoh 21 hari untuk mencari jodoh oleh ibu dan bapanya, jatuh hati pada seorang gadis kampung, Zulina (Nas Adila).

Zulina bekerja di sebuah kilang dan sering menggunakan laluan di bawah pokok ketapang itu untuk ke tempat kerjanya. Ketapang yang ditemani sahabat baiknya, Hantu Gigi (Hairie Mohamad) sentiasa menantikan kehadiran Zulina dan kadang-kadang cuba menegurnya, namun dihalang Hantu Gigi kerana bimbang Zulina terkejut apabila melihat wajah sebenar Ketapang.

Pas masuk menonton Teater Hantu Ketapang ini berharga RM10, boleh diperoleh dengan menghubungi Atie (018-3201979) dan Fatin (016-3221867).


---------------

RAJA Azrey Raja Kamaruzzaman tampil lagi beraksi untuk teater Hantu Ketapang (Jangan Lalu Bawah Pokok) anjuran Persatuan Geliga Merah Opera (GMO) yang ditubuhkan beliau menerusi kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Ia dipentaskan selama tiga hari, pada 12 hingga 14 April ini, bermula jam 8.30 malam di Auditorium MPAJ, Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Raja Azrey yang turut bertindak sebagai pengarahnya berkata, teater pertamanya di bawah GMO itu adalah simbolik jatuh bangunnya selama 12 tahun dalam bidang seni teater.

Sedia ambil cabaran

"Saya ingin menunjukkan kepada peminat teater, walaupun bergerak secara amatur tapi paling utama ruang berkarya dan teater ini bukannya teater yang sekadar melepaskan batok di tangga, sebaliknya masih lagi mengekalkan kualiti setaraf teater dipentaskan secara profesional. Untuk teater ini, kami sudah menjalani latihan sejak lebih sebulan lalu, walaupun agak terhad disebabkan komitmen pelakon, tapi dengan barisan terkuat yang saya dapat untuk membawa setiap watak dalam teater ini, saya berharap ia menjadi satu pementasan teater yang akan mendapat maklum balas terbaik penonton nanti.

"Saya mengambil cabaran ini dengan barisan pelakon yang kebanyakannya penyanyi, asalnya memang ada jurang ketara dilihat antara mereka, namun berdasarkan latihan yang dilakukan sepanjang lebih sebulan ini, saya dapat lihat komitmen masing-masing untuk membawa watak diamanahkan. Pembabitan mereka dalam pementasan teater ini secara langsung dapat mengembangkan lagi karier mereka," katanya yang memilih Fairuz Selamat, Ezad Lazim, Nas Adilla, Aliff AF, Ani Maiyuni, Arin Raja Lawak, Abu Mamu dan Seri Nabilla.

Ada unsur komedi

"Memang saya banyak aktif dalam teater bangsawan, namun pada masa sama, teater di bawah arahan saya ini turut memasukkan unsur humor dan komedi supaya tidak menimbulkan bosan penonton. Kali ini dengan membawa kisah hantu dan juga disuntik elemen komedi dan muzikal, saya berharap dapat memberi pembaharuan.

"Melalui Hantu Ketapang, saya ingin menunjukkan pertembungan antara manusia dan hantu. Dalam dunia moden sekarang masih lagi ramai mempercayai dan membuat kerja berunsur khurafat. Pada masa sama, saya juga membawa penonton ke alam imaginasi untuk membandingkan antara kehidupan manusia dan hantu, meskipun ia di luar jangkauan manusia," katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam Festival Teater Malaysia 2012 (FTM 2012) lalu menerusi teater Buai terbitan Majlis Teater Selangor.

Raja Azrey juga berharap, projek sulungnya tahun ini mampu untuk membentuk fenomena tersendiri.

"Teater ini dipentaskan untuk kepuasan hati saya sendiri namun kepuasan hati penonton adalah lebih penting. Saya yakin dengan rekod baik yang dipegang sebelum ini menerusi teater yang pernah saya pentas sebelumnya, pementasan kali ini juga saya masih mengekalkan kualiti sama. Sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan, besar harapan saya untuk teater ini dipentaskan di Istana Budaya, namun semuanya bergantung kepada kewangan," katanya.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top