Filem Songlap dan Instanbul Aku Datang masing-masing menerima Anugerah Filem Aksi Terbaik dan Drama Terbaik dalam Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 (AIFFA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK) di sini, malam kelmarin.

Dalam acara penuh gilang-gemilang yang diacarakan Tony Eusoff itu turut menyaksikan pelakon Shaheizy Sam menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan berkesannya dalam filem Songlap.

Bagi Pelakon Wanita Terbaik menjadi milik pelakon Filipina, Alessandra De Rossi melalui filem Sta Nina yang turut dinobatkan sebagai Drama Filem Terbaik.

Sementara itu, filem Bunohan arahan Dain Iskandar Said diangkat sebagai Lakon Layar Filem Terbaik, manakala pengarah filem Indonesia, Atambua 39 Degree Celcius, Riri Riza menerima Anugerah Pengarah Terbaik.

Sebanyak 11 kategori dicalonkan pada penganjuran kali ini yang bertemakan hitam putih dengan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Kehormat Aiffa, Anugerah Khas Juri dan Anugerah Filem Semangat Asean.

Anugerah kehormat menjadi milik U-Wei untuk filem Hanyut, manakala empat filem dipilih menerima Anugerah Khas Juri iaitu Kayan Beauties daripada Myanmar, Rectoverso (Indonesia), Ada Apa Dengan Rina (Brunei), Taxi! Taxi! (Singapura).

Keunikan filem Indonesia, Cinta Tapi Beda yang menggambarkan kehidupan masyarakat ASEAN arahan Hestu Saputra dan Hanung Bramantyo terpilih menerima Anugerah Semangat ASEAN AIFFA.

AIFFA yang julung kali diadakan turut memberi penghargaan Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman 2013 kepada Datuk Seri Michelle Yeoh yang disampaikan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Majlis anugerah itu dimeriahkan dengan persembahan penyanyi kelahiran Sarawak, Dayang Nurfaizah dan kemunculan istimewa Krisdayanti yang menyanyikan lagu popularnya Menghitung Hari.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top