Shaheizy Sam buka restoran

Pelakon popular Shaheizy Sam, gembira impiannya untuk membuka restoran sendiri tercapai.

Meskipun perniagaan berkenaan dikongsi bersama kakaknya, Zizie Izette, dan juga ibu saudaranya, Sam yang ditemui pada majlis pelancaran Best Time Family Cafe And Grilled yang terletak di Bandar Tun Hussein Onn itu bersyukur perancangannya selama enam bulan berjalan lancar.

Bukan mengambil kesempatan atas kemenangan yang baru diraihnya itu, Sam sebaliknya mengaku akan tetap membuka perniagaan restoran jika tidak bergelar Bintang Paling Popular sekalipun.

Justeru, apabila rezeki sudah tertulis buatnya pada 7 April lalu, Sam menganjurkan sekali majlis doa selamat bagi berkongsi kesyukuran atas kemenangannya itu.

Turut hadir ke majlis itu ialah ibunya, Khaty Fauziah; adik-beradiknya; saudara-mara terdekat; penerbit, David Teo dan isteri; rakan seperjuangan, Yana Samsudin; anak yatim serta ahli kelab peminat dua pelakon terbabit.

"Restoran ini akan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam dan ia diuruskan oleh makcik saya yang tinggal berdekatan. Saya sendiri akan cuba meluangkan masa untuk datang sini sekali atau dua kali dalam seminggu.

"Apa yang istimewa di restoran ini ialah hidangan panggang, begitu juga ikan bakar dan barbeku yang menggunakan resipi saya sendiri. Bukan itu saja, di sini juga tersedia masakan tempatan," katanya yang mengaku impian itu terlaksana setelah berasakan wang simpanannya mengizinkan dia berbuat demikian.

Biar jodoh datang sendiri

Apabila usia semakin meningkat, kerjaya pula semakin stabil, diikuti pula sudah memiliki perniagaan sendiri, tentunya ramai yang ingin melihat Sam naik pelamin selepas ini. Apatah lagi sudah beberapa nama, popular atau sebaliknya, dikaitkan dengannya sebelum ini.

Bagaimanapun apabila bercakap soal jodoh, jejaka tampan ini tetap tidak berani untuk meletakkan usia sasaran bagi dia mendirikan rumah tangga. Baginya, jodoh akan datang tanpa diduga.

Malah, Sam tidak menolak jika dirinya ditakdirkan berkahwin bersama seorang daripada peminatnya, mahupun rakan artis.

"Saya berdoa saya dapat jodoh cepat, tetapi saya tak boleh cakap tahun ini atau sebaliknya. Kalau Tuhan turunkan jodoh tahun ini, mana tahu saya kahwin dalam tahun ini juga? Bagaimanapun, ketika ini saya tiada perancangan untuk mendirikan rumah tangga dan sekarang ini saya kosong, belum berpunya.

"Andai nak bercakap mengenai isteri, saya mahu wanita yang tenang, yang boleh kurangkan rasa cemas sebab saya seorang yang kelam-kabut. Dari segi fizikal pula, saya mahu yang sedap mata memandang dan pandai ambil hati keluarga.

"Saya tak kisah siapa pun calonnya, orang dalam industri atau bukan, malah jika jodoh saya di kalangan peminat, saya tak kisah. Saya akui saya pernah dua hingga tiga kali putus cinta. Kadang-kadang, sebab itulah saya rasa malas nak serius, tetapi saya tidak boleh nak elak semua itu. Susah nak cakap soal hati ini. Macam manapun saat ini saya tak sibuk mencari pasansibuk bekerja," tambahnya.

`Bercinta' dengan Fazura

Bercerita mengenai kerjaya lakonannya. Sam memberitahu, dia kini sibuk menjalani latihan untuk filem Manisnya Cinta bersama Nur Fazura, Lisa Surihani dan Faizal Hussein. Pada penghujung Mei depan dia dan beberapa pelakon lain akan terbang ke Turki bagi menjalani penggambaran filem arahan Bernard Chauly itu.

Semakin bijak menguruskan kerjayanya, Sam menegaskan, selepas ini dia tidak lagi mahu mengambil terlalu banyak tawaran lakonan. Bagi 2013 umpamanya, dia hanya menyasarkan tiga hingga empat filem serta sebuah drama bersiri.

Malah Sam juga berkata, dia sesekali tidak akan menaikkan bayaran biarpun kini bergelar Bintang Paling Popular buat kali kedua. Kali pertama dia dinobat paling popular pada ABPBH 2010. Sebaliknya, tegas pemuda ini, harganya tetap sama kerana dia bekerja dengan keikhlasan, bukannya kerana mengejar wang.

Berhubung kejayaan dikecapi pada ABPBH yang baru berlalu, Sam mengaku ramai juga yang mempertikaikan kemenangannya. Begitupun dia enggan mengulas panjang hal itu kerana segala keputusan sudah pun ditentukan peminat. BH pula, katanya, hanya menjalankan tugas mereka sebagai penganjur anugerah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top