Nama Salammusik mungkin agak asing bagi penggemar muzik, tetapi sejak memenangi kategori Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-19 lalu, nama mereka kian meniti di bibir peminat.
Tidak seperti artis lain yang banyak memfokuskan kepada lagu cinta dan romantik, mereka lebih selesa memperjuangkan lagu rakyat.
Lihat saja pada lagu mereka bersama Malique yang sehingga ke hari ini menjadi siulan peminat, terutama penggemar muzik raggae. Kemunculan single Aku Pelat yang kini ligat diputarkan di corong radio pula mengukuhkan lagi jenama Salammusik di persada hiburan tempatan.
Diperkuat 10 anggota
Tidak mahu disamakan dengan artis lain yang memfokuskan kepada satu genre, kumpulan ini dilihat lebih gemar mempelbagaikan nuansa muzik mereka yang santai, serta dekat dengan masyarakat.
"Kami tak fokus kepada raggae saja. Kami lebih suka ketengahkan pelbagai genre lagu supaya semua orang boleh terima. Kalau terlalu fokus pada satu genre, nanti takut idea jadi terbatas.
"Walaupun orang tengok keanggotaan kami terlalu ramai, sebenarnya ia bagus kerana kami dapat berkongsi idea. Semua orang boleh sumbangkan karya mereka," kata vokalisnya, Ashraaf Azlan atau Salam.
Selain Salam, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2006 itu turut menampilkan Tip dan Eyza bertindak sebagai penyanyi utama. Eyza pula bak bunga yang dikelilingi kumbang kerana dia satu-satunya anggota wanita dalam kumpulan yang turut dianggotai Ahmad Bulya, Payung, Kamal Razali, Amar, Jazmin, Efry Arwis dan Djambul.
Bawa muzik Malaysia ke peringkat global
Salammusik agak istimewa bukan kerana jumlah anggotanya, bahkan lagu dihasilkan turut menyuntik elemen gambus, gamelan, genderang dan muzik bertali.
Matlamat mereka adalah mengangkat irama tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa, menerusi lagu yang ringan, ringkas dan santai.
"Kami lebih kepada konsep irama kerana banyak elemen muzik dapat didengar dalam lagu kumpulan ini. Sumber inspirasi kami dalam berkarya lebih kepada realiti kehidupan dan apa yang berlaku di sekeliling. Sebab itulah lagu kami lebih bersifat kemasyarakatan.
"Kami juga ada menghasilkan satu lagu Hindi berjudul Gulab, yang bermaksud bunga mawar. Idea menghasilkan lagu ini timbul selepas mendengar lirik sebuah lagu Hindustan," katanya.
Sehingga kini, Salammusik menghasilkan dua album, masing-masing Salam Musik (2011) yang memuatkan sembilan lagu dan O (2013) yang mengandungi 13 lagu.
Kejutan pada malam kemuncak ABPBH
Hasil kejayaan pada AIM19 juga, mereka akan memulakan jelajah ke Eropah pada Julai dan Ogos depan, dari Jerman hingga ke Perancis.
"Kami banyak b erek sp er i men dalam lagu dan dengan pencapaian ini,iamembolehkan kami merantau ke luar untuk membawa muzik Malaysia.
"Kami boleh diibaratkan sebagai kumpulan atas pagar kerana ada ketikanya kami ke gig dan ada kalanya ke arus perdana," katanya yang akan membuat persembahan penutup pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 pada 7 April.
Peluang yang diberikan BH amat dihargai kumpulan ini kerana selain dapat beraksi pada acara berprestij, inilah juga peluang yang dianggap mereka sebagai medan untuk lebih dikenali ramai.
Bagaimanapun mereka mahu merahsiakan dulu kejutan yang bakal dilakukan ketika menyampaikan lagu Aku Pelat.
INFO Salammusik
- Album: Salam Dalam Dub Malas (kompilasi) (2008), Salam Musik (2011) dan O (2013)
- Single: Cerita Kedai Kopi, Alamak (duet bersama Altimet), Lupakan Semalam, Bangkit (duet bersama DJ Fuzz dan Altimet) dan Aku Pelat (duet bersama Ziondread) -
Pencapaian: Lagu Hip-Hop Terbaik AIM17 dan Album Terbaik AIM19
0 ulasan:
Catat Ulasan