Raja Pop lawan Raja Balada
Jamal Abdillah menerusi syarikat miliknya, Bintang Channel, terus rancak mengatur konsert besar menggunakan modal sendiri.
Pada 26 April, Jamal bakal berkongsi pentas dengan rakan seperjuangan yang cukup dikagumi vokalnya, Saleem, pada persembahan berskala konsert di Ri-Yazh Heritage Marina Resort & Spa, Terengganu.
Enggan tertipu, selain mengakui tidak mungkin menurunkan harga hingga menyukarkan penganjur lain menyunting dirinya membuatkan penyanyi yang mendapat gelaran Raja Pop itu tegar mengelolakan acara besar di serata pelosok negeri.
"Memang ramai penganjur tahu kadar yang saya tetapkan agak tinggi, tetapi mereka harus faham, ia setanding dengan hasil yang saya beri. Bukan tidak boleh berlebih kurang, namun harus lihat kesesuaiannya.
"Dengan pengalaman yang saya kutip lebih tiga dekad di arena seni, Bintang Channel digerakkan, malah sejak beberapa tahun ditubuhkan sudah banyak konsert kami anjurkan," katanya .
Bonus buat peminat
Ulas penyanyi Kekasih Awal dan Akhir itu, kerjasama dengan Raja Balada itu dalam sebuah konsert berkonsepkan majlis makan malam dilihat sebagai bonus buat peminat tegar mereka, khususnya di timur tanah air.
"Sebenarnya idea ini timbul tahun lalu ketika persembahan di Kuala Terengganu yang mendapat sambutan hangat sampai tidak cukup tempat. Saya berhajat kembali semula, namun kali ini bersama teman gandingan. Selepas perbincangan, pihak hotel tertarik dengan cadangan ini.
"Bagi saya, Saleem punya vokal yang hebat, sekali gus melihat penampilannya sebagai satu perniagaan. Dia sendiri ada ramai peminat. Agak merugikan andai tidak mengundangnya mengadakan persembahan eksklusif itu. Nampaknya Saleem juga berbesar hati menjayakan acara ini bersama saya," katanya.
Lebih banyak gandingan menyusul
Berkongsi sedikit perancangan, mereka akan tampil dalam segmen tersendiri sebelum masing-masing bertukar dendangan hits yang mana Saleem menyampaikan lagu Ghazal Untuk Rabiah, manakala Jamal akan menyanyikan lagu Gerhana Cinta Luka.
Demi memenuhi selera orang muda dan peminat yang lebih berusia, Jamal tidak ketinggalan mengundang artis jemputan termasuk Farouq yang akan berduet dengannya menyampaikan Aku Maafkan Kamu menggantikan Malique, selain artis veteran, Elias Shah Dedahnya lagi, gandingan dengan rakan seperjuangan lain tidak akan terhenti begitu saja apabila pihaknya merencanakan lebih banyak konsert selepas membawa Saleem ke Kota Bharu, Kelantan.
"Selepas ini kami akan bergerak ke Kelantan pula. Kalau boleh saya mahu berkongsi rezeki dengan ramai rakan lain. Antara penyanyi yang ingin saya panggil andai persembahan seumpama ini dirancang lagi pada masa akan datang antaranya termasuk Zamani," ulasnya ringkas.
Ditanya tidakkah acara ini mengganggu persiapan Konsert Ekstravaganza Jamal Abdillah - P Ramlee di Istana Budaya, bermula 30 Mei depan, akuinya perancangan diteliti supaya setiap perkara tidak bertindan.
Saleem hargai undangan Jamal
Sementara itu, Saleem yang tampak teruja menghiburkan peminat di tanah kelahiran sendiri nyata tidak sabar beraksi, namun menafikan ia pertarungan vokal antara Raja Pop dengan Raja Balada.
"Saya mahu bergembira menghiburkan penyokong setia di Terengganu.
Tiada istilah berlawan atau ingin lebih menonjol daripada Jamal kerana bagi saya dia berada dalam kelas tersendiri.
"Apabila diajukan tawaran ini oleh Jamal sendiri, saya tidak nampak mengapa saya perlu menolaknya? Inilah peluang untuk kami berkongsi pentas dalam persembahan berskala konsert," katanya.
Persembahan Jamal, Saleem
- Bagi menempah tempat, peminat boleh memilih meja (setiap satu untuk 10 orang) berharga RM5,000, RM3,500 atau RM2,000 dan menghubungi 09-6277888, 013-6646 246 (Ali), 019-2393780 (Sarah), 010-2102 141 (Junaidi) dan 012-3423116 (Harun).
0 ulasan:
Catat Ulasan