Filem Laga

Tanpa membariskan wajah komersial masa kini, kekuatan filem terbaru, Laga tetap hebat apabila bersandarkan kepada jalan cerita yang mantap serta lakonan bintang berpengalaman.

Siapa yang mampu menidakkan kebolehan aktor seperti Eman Manan, Zaidi Omar, Wan Hanafi Su dan Nasir Bilal Khan serta dibantu kemunculan pelakon serba boleh seperti Rosyam Nor, Marsha Londoh dan Syazwan Zulkifli.

Malah syarikat produksi yang menerbitkan filem itu, Business Leader Film Sdn Bhd turut mengundang pelakon Indonesia, Tyas Mirasih bagi mewarnai filem berkenaan.

Laga diarahkan Ismail Yaa'cob yang sebelum ini sinonim dengan karya bercorak artistik.

Siapakah pula Tyas?

Pasti tiada siapa yang mengenali pelakon cantik ini seperti mana kita begitu mesra dengan nama-nama seperti Baim Wong, Randy Pangalila, Nikita Willy, Naysilla Mirdad dan Mikha Tambayong.

Tyas yang berusia 25 tahun adalah pelakon sinetron dan filem serta pengacara di Indonesia. Ada sinetron lakonannya ditayangkan di sini seperti Bayu Cinta Luna yang sedang ke udara di Slot Mutiara Hati TV9, pada waktu petang.

Barangkali kerana Tyas bukanlah pemegang watak utama, maka tiada siapa yang perasan kehadirannya dalam sinetron itu. Nama wataknya dalam drama itu adalah Yulia dan barisan pelakon lain termasuklah Bunga Citra Lestari, Chico Jericho dan Fendi Chow.

Tyas kini sedang intim dengan pelakon Malaysia yang menempa nama di Indonesia iaitu Keith Foo dan peluang berlakon dalam Laga pun khabarnya disebabkan teman lelakinya itu.

"Pihak produksi bertanyakan mengenai saya dengan Keith. Dari situlah saya diundang untuk berlakon dalam filem Laga ini. Ketika tawaran berlakon datang, saya sedang bercuti di Eropah dan saya juga perlu melihat skripnya dulu. Bagi saya, genre filem di Malaysia dan Indonesia hampir sama kerana suatu ketika banyak filem seram.

"Bagaimanapun, untuk kemunculan pertama dalam filem di Malaysia, saya mahukan kelainan.

Kalau masih juga filem seram, ia tidak banyak bezanya. Selepas skrip dikirimkan kepada saya, saya terus tertarik dengan jalan cerita Laga tambahan lagi saya difahamkan semua peranannya didukung pelakon yang sangat hebat di Malaysia.

"Bagaimanapun, produksi itu sanggup menunggu saya agar menghabiskan cuti di Eropah dan kemudian datang ke Malaysia.

"Sampai di sini, penggambaran sudahpun berlangsung selama 18 hari. Semua pelakon memberi kerjasama yang sangat bagus sehingga membuatkan saya tidak begitu terasa berada di tempat orang," katanya.

Tyas atau nama sebenarnya, Mirasih Tyas Endah, berdarah campuran Jawa-Belanda, menceburi bidang modelling terlebih dulu sebelum dia berlakon dalam video muzik, drama dan filem.

"Saya mula modelling pada usia 15 tahun dan memulakan kerjaya dalam dunia hiburan Indonesia selepas menjadi finalis Gadis Sampul 2002. Seterusnya saya muncul dalam video muzik Seperti Yang Dulu nyanyian Ungu," katanya.
Filem Laga

Kemudian namanya semakin dikenali selepas muncul dalam video muzik Seperti Yang Ku Mau (Baim), Bersama Bintang (Drive), Menjaga Hati (Yovie & Nuno), Untuk Pertama Kali (Kerispatih), Cintai Aku Lagi (Sania) dan Raja Sedang Jatuh Cinta (Numata).

Dia juga berlakon dalam filem Mati Suri (2009), Air Terjun Pengantin (2009), The God Babe (2010), Ratu Kostmopolitan (2010), Air Terjun Pengantin (2010) dan Hantu Budeg (2012).

"Walaupun sudah 12 tahun berlakon nama saya belum popular di Malaysia dan siapa tahu selepas tayangan filem Laga, peminat di sini mula mengenali saya. Tiada bezanya kita berkarya di mana pun, asal saja peminat dapat menerima artis itu.

"Laga sangat istimewa kerana ia bukan saja mengutarakan elemen cinta, tetapi juga kisah masyarakat yang terlalu asyik bermain ayam sabung sehingga rumah tangga porak peranda dan wujudnya permusuhan.

"Karya ini sangat lain. Watak saya adalah sebagai Maya yang baru tiba di sebuah kampung untuk melawat neneknya.

"Setibanya di sini, saya jatuh cinta dengan pemuda kampung, Sabri (lakonan Syazwan Zulkifli). Percintaan mereka kemudian ditentang ibu Sabri, tetapi Sabri berkeras mahu mengahwini saya dan membawa saya lari dari kampung itu," katanya.

Pengarah Ismail pula berkata, selepas menghasilkan Lenjan yang diterbitkan pada 1988, baru kini dia bertemu naskhah yang sangat menarik minatnya untuk mengarah filem semula.

"Skripnya sangat bagus dan saya rasa seronok hendak kembali mengarah. Saya tunjukkan skrip itu kepada rakan pelakon lain dan mereka juga sependapat. Ceritanya banyak yang tersurat dan tersirat. Ada juga yang kami kena tafsirkan sendiri.

"Kawan-kawan memberi idea dan kami juga berbincang siapa pelakon yang sesuai untuk membawa setiap watak dalam Laga. Saya tidak sandarkan filem ini pada wajah hero dan heroin yang cantik saja, tetapi lebih kepada kekuatan setiap watak dan penceritaannya. Semua watak seperti Hanafi, Zaidi, Eman dan Nasir adalah watak penting. Mereka adalah pelakon terbaik yang menjadi tukang cerita dan pembawa cerita dalam Laga.

"Saya mahu meletakkan kebolehan dan pengalaman mereka pada tahap sebenar, sama seperti di Bollywood dan Hollywood yang suka meletakkan pelakon handalan pada tahap yang paling tinggi.

"Rasanya sudah terlalu klise apabila kita mengharapkan wajah komersial untuk melariskan filem. Sampai bila kita nak tengok filem yang berlandaskan 'nafsu' tanpa elemen kematangan. Saya berjaya jumpa produser yang 'betul' dan skrip yang tepat. Laga ada elemen aksi, cinta, konflik dan air mata.


"Bukan saja ayam yang berlaga, tetapi manusia pun akan berlaga. Perlanggaran pendapat antara orang tua dan yang muda turut diselitkan," jelasnya.

Ismail berkata dia tampilkan pelakon Indonesia dalam filem ini bagi menunjukkan bukan saja orang Malaysia tertarik dengan orang sana, bahkan orang sana juga boleh jatuh hati dengan orang Malaysia.

Keseluruhan penggambaran filem itu dilakukan di Kuala Kangsar, Perak selama lebih sebulan dan akan ditayangkan tahun depan.

Ringkasnya, Laga mengisahkan penceritaan di kampung yang terlalu taksub dengan permainan sabung ayam hinggakan ada yang sanggup membunuh dan mempertaruhkan isteri sendiri.

Hassan Laga lakonan Wan Hanafi Su mempunyai isteri yang cantik bernama Ayu (Marsha Londoh). Orang Kaya Dasuki (Nasir Bilal Khan) kemudian mencabar Hassan Laga mempertaruhkan isterinya yang jelita itu di gelanggang sabung ayam.

Dasuki sebenarnya pernah mengintai Ayu di rumah Hassan Laga lalu membuatkan Hassan Laga mula tercabar.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top