Biarpun sudah hampir setahun setengah menyendiri, penyampai radio Hot FM, Kieran Kajiran, 38, akui belum bersedia untuk mencari pengganti buat mengisi kekosongan di hati selepas bercerai dengan bekas isterinya, Yang Azliyang Mohd Yunus, Mac tahun lalu.

Bukan mudah mencari wanita yang mampu memahami dan menjaga dua anaknya dengan sebaik mungkin, Kieran tidak mahu tergesa-gesa dalam mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

Tidak menafikan perpisahan yang dialami memberikan kesan kepadanya, lelaki ini kini lebih suka menghabiskan masa bersama ibu dan dua cahaya mata, jika tidak terikat dengan aktiviti penyiaran.

Begitupun, sambutan puasa tahun ini tidak dirasakan banyak berbeza kerana inilah tahun kedua dia menyambut Ramadan tanpa wanita bernama isteri di sisi.

"Seperti biasa, saya akan berbuka puasa di konti Hot FM dan kemudiannya pulang makan bersama dengan ibu di rumah. Selepas kerja, memang saya akan terus pulang ke rumah untuk menemani ibu yang keseorangan.

"Puasa tahun ini tidaklah sedih sangat. Begitupun, puasa tahun lalu paling terasa sebab sebelum ini, tiga tahun ada orang rumah yang menyediakan juadah. Tahun lalu juga kali per tama saya berpuasa berseorangan. Malah, raya tahun lalu juga saya dapat berasakan kelainannya. Semestinya saya sedih dan saya tak boleh tipu perasaan itu, namun ia pulih secara perlahan-lahan.

"Tahun ini semuanya baik dan saya pun lebih ceria bersama ibu saya. Jika saya ceria, ibu dan keluarga saya juga lebih ceria, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan kisah itu. Malah anak-anak juga tiada masalah sebab kami bergilir-gilir menjaga mereka," kata Kieran.

Kieran turut menjelaskan, dia ingin memastikan namanya berdiri lebih kukuh dalam bidang penyiaran sebelum memikirkan soal mencari pengganti.

"Saya mahu fokus dalam membina nama, lagi pun saya baru menyertai Hot FM pada 2008. Begitu juga saya mahu mencipta lebih peluang dalam bidang sukan. Jadi, kalau nak bercakap pasal pengganti, bukanlah pada waktu sekarang sebab saya mahu mendahulukan kerjaya buat masa ini.

"Jujur saya akui ada yang datang mencuba. Tetapi saya belum bersedia dan biarkan saya bertenang dulu. Bukannya fobia untuk bercinta, sebab tiada siapa yang tidak mahu kahwin, cuma masanya belum sampai. Saya juga bersyukur ibu saya memahami dan tidak mendesak, malah tidak pernah bertanya soal itu," tambahnya.

Mengenai kerjayanya, Kieran memberitahu, dia lebih sibuk pada tahun ini dengan pelbagai agenda.

"Dari segi kerjaya, tahun ini agak berbeza daripada tahun lalu sebab saya lebih sibuk dengan kerja. Namun, ada bagusnya juga kerana saya tidak perlu terlalu memikirkan mengenai sambutan raya," katanya yang akan menyambut Aidilfitri di konti.

Tidak mengeluh walaupun tahun ini kali kedua dia beraya di konti, Kieran mengatakan, dia seronok bekerja pada Hari Raya dan sudi menggantikan rakan sekerja sekiranya mereka mahu pulang beraya di kampung. Dia pula akan pulang ke Klang untuk meraikan bersama keluarga di sana.
~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top