Musim terbaru konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) bagi sesi 2013/2014 menjanjikan kalendar muzik ekstravaganza menerusi kira-kira 100 konsert membabitkan MPO, artis-artis tempatan dan antarabangsa.

Musim baru yang bakal bermula sejurus selepas Aidilfitri nanti dibuka dengan persembahan pemain piano muda Tengku Ahmad Irfan dalam Konsert Gala bertemakan Malaysia in Symphony pada 17 Ogos ini. Konsert ini diadakan bersempena ulang tahun ke-15 selepas persembahan sulung MPO pada 17 Ogos 1998.

Pada konsert ini, Irfan bakal mempersembahkan simfoni ciptaannya khas untuk MPO berjudul Sahibul Hikayat Fantasy Overture bagi menyemarakkan lagi kedatangan musim konsert kali ini.

Menyusul selepas itu, kalendar DFP akan diteruskan dengan DFP Seni Festival pada September pula dengan keraian bercorak Malaysia yang melambangkan kepelbagaian sosio budaya.

Festival yang memasuki tahun keempat ini akan menyajikan siri persembahan seperti Malam Melayu Klasik (menampilkan penyanyi tradisional veteran Datuk Andre Goh bersama Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor), MPO Rocks dan MPO & All That Jazz (menampilkan Atilia, Elvira Arul dan Dina Nadzir), persembahan tradisional Makyung Raja Besar Negeri Ho Gading (bersama penggiat seni Makyung Rosnan Abdul Rahman) dan persembahan potpouri muzik dan tarian berjudul Spectrum.

Seterusnya pada bulan Oktober, paling mendapat perhatian pastinya konsert amal menampilkan Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid dan penyanyi jazz Indonesia, Harvey Malaiholo dalam konsert berganda pertama mereka anjuran Kelab Sukan & Rekreasi Petronas dan DFP.

Menambahkan rencah pada musim ini, persembahan Vienna Boys Choir akan menyusul pada Oktober, kumpulan fusion Eropah Mezzoforte dan calon Grammy/artis instrumental Ottmar Liebert.


Kumpulan indie tempatan Hujan pula bakal mempersembahkan sebuah konsert istimewa bercorak akustik pada Disember ini di bawah siri DFP Spotlight.

Pada musim ini, DFP juga memperkenalkan siri Great Violin Concertos dan The World of Gustav Mahler yang pasti akan mempesonakan para peminat tegar muzik klasikal.

Musim ini juga bakal mempersembahkan konsert artis tersohor antaranya konduktor Kazuki Yamada dan Pablo Gonzalez, penyanyi tenor dari England Robin Blaze, pemain violin dari China Tianwa Yang, pemain piano dari Austria Till Fellner, penyanyi contralto dari Itali Sara Mingardo, penyanyi soprano Karina Gauvin dan Kimy McLaren, serta dua pemain violin keturunan Malaysia Nikki and Timothy Chooi.

Bersempena bulan romantis pada Februari 2014, penyanyi Stephen Rahman Hughes juga dijangka tampil dengan sebuah konsert sempena Hari Kekasih.

Selain itu, MPO akan terus mempesonakan khalayak melalui konsert bertema inovatif, The Music of James Bond (September 2013), Va Va Voom! From Vienna to Broadway (Januari 2014), MPO Plays The Beatles (Mac 2014).

Tayangan filem lakonan Charlie Chaplin berjudul The Gold Rush pada November ini akan memperlihatkan kehebatan muzik MPO mengalunkan runut bunyi filem itu secara langsung.

Tidak ketinggalan, konsert tribute untuk superstar Michael Jackson yang dijadualkan pada Oktober ini menampilkan penyanyi/penari James Delisco.

MPO juga akan mempersembahkan konsert bertemakan Disney's Pixar in Concert pada Jun 2014 di mana buat pertama kalinya MPO akan memainkan muzik mengiringi sedutan filem Pixar seperti Toy Story dan Finding Nemo.

Buat julung kali, MPO akan bekerjasama dengan tokoh tari tersohor Datuk Ramli Ibrahim dan kumpulan Sutra Dance Theatre pada Jun tahun depan yang menggabungkan tarian moden Asia dan muzik klasikal MPO.

Pelancaran pakej konsert untuk pelanggan tetap DFP/MPO pada 29 Jun ini dan penjualan tiket kepada umum akan bermula pada 30 Jun ini.

Hubungi Box Office di talian 03- 20517007, faks 03-20517077 atau e-mel dfp_boxoffice@petronas.com.my. Untuk maklumat lanjut, layari www.mpo.com.my.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top