ASTRO Tutor TV UPSR telah memperkenalkan sebuah rancangan kuiz terbaru iaitu ZOOM UPSR yang disiarkan setiap Ahad pada jam 11 pagi, bermula 14 Julai 2013 di Saluran 601.

Ketua Bahagian Pendidikan Astro, Ravi Gopal berkata, rancangan tersebut menggabungkan hiburan dan pendidikan berdasarkan sukatan pelajaran UPSR seperti mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.



Tambahnya, program kuiz itu menjanjikan keseronokan serta memberikan peluang kepada para pelajar Tahun 6 untuk menguji persediaan mereka dalam menghadapi peperiksaan UPSR.

“Astro terus komited dalam menawarkan program-program pendidikan berkualiti tinggi dengan pembelajaran menyeronokkan untuk memperkaya ilmu kanak-kanak di Malaysia.

“Dengan pengenalan program kuiz baru ini, kami berharap ia dapat membantu para pelajar dalam mempersiapkan diri mereka untuk peperiksaan UPSR dengan cara yang menyeronokkan dan menarik,” katanya.

Lapan pasukan bertanding


Menurut Ravi, program sebegitu mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan ibu bapa dan pelajar ketika ia mula diadakan di sekolah-sekolah bagi mempromosi program Astro Tutor TV UPSR.

“Idea untuk membentuk satu program seperti kuiz diketengahkan setelah mendapat maklum balas positif daripada semua pihak.

“Ketika itu, program ini diadakan secara kecil-kecilan, namun sambutan hangat yang diterima menyebabkan pihaknya bersetuju untuk menjadikan program tersebut pada skala yang lebih besar,” katanya.

Ujarnya, pemilihan sekolah pula bergantung kepada keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menentukan sekolah layak untuk menyertai program tersebut.

“Selepas itu, KPM telah mengesyorkan 10 buah sekolah dari Selangor terpilih berdasarkan keputusan pelajar dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012.

“Namun, daripada 10 sekolah yang menyertai uji bakat, hanya lapan sekolah dipilih bertanding merebut gelaran juara dalam program ini,” kata Ravi.

Tambahnya, dalam uji bakat tersebut, pelajar melalui beberapa proses penilaian seperti kuiz dan temu ramah untuk melihat ketangkasan mereka menjawab soalan yang diutarakan.

Dalam setiap pasukan, terdiri daripada empat pelajar, iaitu tiga pemain dan satu peserta simpanan bertanding dalam lapan episod, yang mana dua pasukan akan bertanding setiap minggu.

Walau bagaimanapun, pasukan yang kalah mati tidak akan pulang dengan tangan kosong, sebaliknya mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

Rebut hadiah wang tunai RM5,000

Para penonton boleh menyertai hos, Azrul Raja Lawak dalam rancangan ZOOM UPSR bersama dengan para peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar cemerlang mewakili sekolah-sekolah berprestasi tinggi di Selangor.

Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Jelutong, Shah Alam; SK Meru Klang; SK Seksyen 9, Shah Alam; SK USJ12 Subang Jaya; SK Seri Selangor; SK Jalan 3 Bandar Baru Bangi; SK Sri Petaling; dan SK Lembah Beringin Hulu Selangor.

Menurut Ravi, peserta bertanding dalam tiga segmen yang menyeronokkan, iaitu; Segmen 1: Cari Kata; Segmen 2: Roda Minda dan Segmen 3: Zoom Ekspres.

Pasukan pemenang layak ke pusingan seterusnya, dan menuju matlamat utama iaitu menjadi juara ZOOM UPSR 2013 dengan hadiah wang tunai RM 5000.

Menariknya program ini, peserta tidak sendirian kerana ZOOM UPSR turut mengundang selebriti-selebriti tanah air sebagai mentor untuk menghibur dan menyokong mereka.

“Bukan itu sahaja, selebriti mentor juga akan menjadi ‘mangsa’ jika pasukannya beri jawapan yang salah.

“Kita akan melihat aksi-aksi lucu selebriti menerima hukuman seperti disimbah cecair lendir dan air berwarna,” ujarnya.

Barisan selebriti terkenal yang terlibat termasuklah pelakon Oh My English! seperti Akhmal Nazri (Jibam), Zhafir Muzani (Mazlee), Hafizul Kamal (pemenang On Air), Hefny Sahad (On Air), Haziq (Tom Tom Bak) dan ramai lagi yang akan membuat penampilan istimewa serta memeriahkan lagi episod-episod ZOOM UPSR.

1 ulasan:

  1. Nur Syafiqah BT Zainal Abidin umur saya 12 tahun
    Jadi saya nak masuk ZOOM UPSR ini nampak macam syok je

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top