Selepas hampir tiga tahun usia penubuhannya, TV AlHijrah akhirnya bersiaran 24 jam sempena menyemarakkan Ramadan tahun ini.

Sebelum ini, stesen kerohanian itu yang memulakan siarannya pada November 2010 hanya bersiaran dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

Sempena sambutan Ramadan kali ini, pelbagai pengisian kandungan baru disediakan, terutama dalam menyampaikan ilmu kerohanian kepada masyarakat.

Sebanyak 14 program baru disediakan saluran terbabit terutama bahan yang dipertingkatkan membabitkan program dokumentari dan majalah berkaitan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata stesen yang komited dalam penyediaan bahan kerohanian meletakkan TV AlHijrah pada landasan yang semakin stabil.

"Baru-baru ini TV AlHijrah berjaya menempatkan salurannya di NJOI, iaitu perkhidmatan siaran televisyen percuma daripada Astro, yang pertama seumpamanya di negara ini. Bererti, seramai 264,000 pelanggan perkhidmatan itu kini boleh menikmati program TV AlHijrah mulai 18 Jun lalu.

"Menariknya kita hanya perlu membayar sekali saja seumur hidup untuk menikmati kemudahan terbabit," katanya.

Selain siaran secara percuma, saluran berkenaan juga boleh diakses di semua landasan utama media iaitu Astro, HyppTV, 1Malaysia IPTV dan NJOI.

Beliau turut berbangga dengan pencapaian stesen terbabit yang memperluaskan kandungan kerohaniannya kepada masyarakat.

"Semoga usaha yang dilakukan saluran ini, dengan menjadikan televisyen sebagai medium dakwah baru, dapat diterima pakai pada alaf serba moden ini. Usaha dakwah dapat diperluaskan di segenap pelosok dunia, manakala inisiatif yang diambil dalam membariskan program pelbagai genre akan menjadikan mereka saluran yang membawa kebaikan serta mencapai matlamat," katanya.

Sebanyak tiga program dokumentari baru akan menemui penonton mulai esok, termasuk Ayat Riwayat yang disiarkan setiap Isnin hingga Ahad, mulai jam 5.30 petang. Dokumentari 30 episod itu merungkai pegangan dan kepercayaan kaum Bani Israel terhadap tanah yang dijanjikan Allah sebagai negara mereka.

Selain itu, dokumentari East To West yang mengisahkan kelahiran dan perkembangan tamadun Asia barat akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, pada jam 11 malam.

Dokumentari Journey To Islamic Culture yang disiarkan dalam bahasa Inggeris antara dokumentari menarik bagi memahami sisi ajaran Islam.

Selain dokumentari, 11 lagi program membabitkan pengembaraan Islam di Thailand dan China masing-masing boleh disaksikan menerusi Salam Ramadan Thailand dan Tetamu Masjid.

Skop lain seperti program kerohanian iaitu Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, Al-Maraaya dan Ramadan Ya Ramadan. Tidak lupa, program kanak-kanak yang dikenali sebagai Zon Aulad, yang membariskan rancangan seperti Kapsul Zon Aulad, Haiya Biddoa, Dan Den Don dan Pada Zaman Dahulu.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top