Rancangan TV AlHijrah, Syawal Satu Kemenangan

TV AlHijrah meneruskan tradisi tema Syawal Satu Kemenangan bagi menterjemahkan keindahan dan orientasi program yang menjurus kepada kemenangan selepas melalui Ramadan dengan penuh perjuangan.

Bersesuaian dengan masyarakat majmuk di negara ini, TV AlHijrah menghidangkan program Islamik berbentuk universal sesuai untuk tontonan semua bangsa dengan memaparkan Islam sebagai indah dan mudah.

Dengan tema Syawal Satu Kemenangan, antara program yang akan ditayangkan sepanjang Aidilfitri nanti ialah Ayat Riwayat Aidilfitri, Dikir Zikir Istanbul, Raihan Easy Listening Indonesia dan Tetamu Masjid.

Pengerusi AlHijrah Media Corporation, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, mereka menerapkan mesej mengeratkan talian persaudaraan sesama insan serta kesederhanaan dalam meraikan sambutan Aidilfitri dalam semua program yang disediakan.

Katanya, bermula 7 Ogos ini, TV AlHijrah akan menyiarkan program bual bicara berjudul Syawal Satu Kemenangan yang disiarkan pada jam 12.05 malam iaitu menjelang sambutan Syawal.

"Ia adalah program bual bicara yang membincangkan perihal kedatangan bulan Syawal dan cara bagaimana selaku umat Islam harus memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Di samping itu, ia turut disajikan dengan kupasan ilmu serta diselangi dengan persembahan artis jemputan," katanya mengenai program yang dihoskan Amin Idris dan Irma Hasmie itu.

Seterusnya pada 8 hingga 11 Ogos bermula jam 7 pagi, TV AlHijrah akan menayangkan program Assalamualaikum Aidilfitri iaitu paparan menarik sambutan Aidilfitri di dalam dan luar negara. Ini termasuk Ariana Istimewa Aidilfitri yang bersiaran pada 8 Ogos jam 12.30 tengah hari.

Pengumuman mengenai program Aidilfitri itu diadakan pada majlis berbuka puasa stesen TV berkenaan baru-baru ini yang turut disertai selebriti TV AlHijrah seperti Ustaz Don Danial, Chef Ammar, Rosyam Nor dan ramai lagi.

Dr Mohd Yusof berkata, antara program lain menarik yang mengisi slot Aidilfitri mereka ialah Soal Wanita Istimewa Aidilfitri yang akan ditayangkan pada 8 dan 9 Ogos, jam 10.30 malam. Paparannya membawa kisah konsep rumah terbuka, menjemput selebriti dan orang ternama untuk berkongsi cerita sambutan perayaan Aidilfitri. Antara tetamu jemputan ialah pelakon Fouziah Gous dan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi.

Soal Wanita turut meraikan 20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Shifa, Setapak dan episod edisi khas raya ini juga turut menjemput pereka dekorasi antarabangsa, Mohd Azmy Osman dan blogger terkenal, Abil. Tetamu lain ialah pengasas produk Beauty Umairah iaitu Zaiton Hasan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton.

Dalam pada itu, pada hari raya kedua, ditayangkan pula Soal Wanita Istimewa Aidilfitri yang dihoskan Aimie Sofea, Siti Fazurina dan Lenny Irana dengan tajuk Erti Kemaafan. Program itu turut menjemput pelakon Johan As'ari untuk berkongsi ceritanya mengenai pengertian kemaafan. Turut diundang dalam episod ini artis dan pengacara TV veteran, Wan Chik Daud dan Ustaz Dr Taufik Ismail.

Ia diikuti program 60 Minit Ustaz Don: Mai La Raya pada 10 dan 11 Ogos, jam 10.30 malam.

Sememangnya tidak lengkap program raya tanpa adanya telefilem raya dan TV AlHijrah turut tidak ketinggalan menayangkannya dengan telefilem berjudul Nur Aidilfitri ditayangkan pada hari raya pertama jam 8.30 malam.

Telefilem lakonan Dazrin, Rozliza (Leez AF), Ku Faridah, Datuk Jalaluddin Hassan dan Rozi Othman mengisahkan Datuk Radzi pulang ke Malaysia dan kebetulan kepulangannya itu jatuh pada bulan Ramadan. Anaknya Shahril berasa kekok apabila berpuasa di Malaysia. Satu peristiwa yang membuatkan Shahril berubah apabila melihat tukang kebun kolejnya bekerja di bawah terik matahari. Shahril membatalkan percutiannya ke Bali kerana ingin merasai Aidilfitri di tanah air sendiri dan Datuk Radzi sedar akan kesilapannya.

Pada hari raya kedua jam 9 malam pula ditayangkan telefilem berjudul Tibanya Syawal yang mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal, Safiyah membesarkan tiga anaknya yang masih bersekolah. Safiyah sangat berjimat cermat sehingga anaknya merungut dan merajuk dengannya.

Telefilem hebat ini dibintangi Ayu Raudhah, Elysza Loy, Farisya Iris, Adik Haikal Aiman dan Ku Faridah.

Sementara itu, telefilem Sirat Al-Mustaqim yang disiarkan pada 12 Ogos, jam 8.30 malam pula mengisahkan Maryam, seorang janda bertekad untuk mengabdikan seluruh jiwa dan raganya hanya untuk anak tunggalnya Adam yang berusia lima tahun.

Dalam pada itu, program lain yang bakal ditayangkan ialah filem A Separation (11 Ogos, jam 9 malam), Musikal Dikir Zikir Istanbul (7 Ogos, jam 10.05 malam), Raihan Easy Listening (9 Ogos, jam 11 pagi), Travelodge Ayat Riwayat (8 Ogos, jam 11 pagi), Tetamu Masjid (8 Ogos, jam 12 tengah hari), Chef Amar Aidilfitri (9 Ogos, jam 10.05 pagi), Hidangan Barakah Aidilfitri (8 Ogos, jam 10.05 pagi), Kapsul Zon Aulad Syawal (8-18 Ogos, jam 10 pagi) dan Dan Den Don Istimewa Aidilfitri (8 Ogos, jam 3.35 petang).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top