Amir Jahari di bawah naungan Kasi Gegar Entertainment

Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE), syarikat label milik keluarga penyanyi Aizat Amdan, mengambil bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim ke-9, Amir Jahari sebagai artis pertama dibawah naungan mereka.

Dengan kolaborasi tersebut, Amir akan bergerak bersama KGE dalam penerbitan muzik dan lagu sekaligus memperkembangkan lagi kerjayanya di dalam industri muzik. Selain itu, KGE juga bertindak dalam menerbitkan dan memasarkan lagu-lagu ciptaan Amir serta bekerjasama dengan syarikat pengurusan Amir, J Play dalam urusan promosi.

“Kali pertama saya tengok dia membuat persembahan, ia mengingatkan pada diri saya sendiri ketika di awal kemunculan saya dulu. Saya tertarik dengan bakat Amir yang saya rasa tidak patut dipandang enteng dalam industri ini.

Amir Jahari

“Secara peribadi, saya terkejut dan bangga bila jumpa bakat seperti Amir. Syukur, Alhamdulillah kami dapat berkolaborasi dengan dia. Sebelum ini KGE ada perancangan untuk mengambil artis di bawah naungannya, tapi waktu itu kami tak ada pengalaman lagi. Bila jumpa Amir tahun lepas dan bawa dia bersama ke Konsert Borneo Tour, kami yakin untuk ambil dia kerana kami tengok dia seorang yang profesional. Malah, orang pun dah mula sedar bakat dia yang bagus dan saya rasa Amir mempunyai peluang cerah dalam industri ini.”
Aizat turut memberitahu bahawa terma kolaborasi ini juga agak berbeza daripada kontrak biasa di mana syarat-syaratnya lebih prihatin terhadap kepentingan artis dari segi pembahagian hasil pendapatan.

Bagi yang masih tidak mengenali Amir, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini cukup popular dengan single pertamanya berjudul, ‘Tanpamu’. Selain menyanyi, Amir atau nama penuhnya Mohamad Amirullah bin Jahari ini juga berbakat dalam bermain alat muzik serta mencipta lirik.

Menyentuh mengenai tawaran yang diterimanya, Amir ketika ditemui memberitahu, “Sebelum ini memang ada syarikat lain yang ingin bekerjasama, namun saya memilih KGE sebab saya rasa lebih selesa dengan mereka. Mereka layan saya seperti keluarga sendiri dan saya rasa itu yang terbaik untuk saya,” ujarnya yang bakal muncul dengan single kedua berjudul, ‘Gelisah’ tidak lama lagi.

Moga Amir Jahari semakin berjaya mencipta nama di pentas hiburan Malaysia di bawah Kasi Gegar!

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top