Sharifah Sakinah sombong?

Watak Kinah dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang arahan Michael Ang  iaitu rakan baik kepada karakter Alyah lakonan Elfira turut mencuri perhatian di samping watak Elfira Loy dan pelakon kacak Indonesia, Randy Pangalia.

Sharifah Sakinah

Watak anak orang kaya yang agak kebodohan, terutama apabila bercakap bahasa Inggeris secara sembrono atau lebih dikenali dengan istilah ‘berterabur’ begitu menyerlah sehingga berjaya mencuit hati dan mencuri tumpuan penonton. Pasti ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan pelakon yang memerankan karakter Kinah itu.

Kinah sebenarnya telah direalisasikan oleh pelakon Sharifah Sakinah, adik kepada Sharifah Norazleenda dan Sharifah Shahira. Sebenarnya bukan mudah buat Sakinah untuk menjadikan namanya dikenali dalam bidang lakonan dan pengacaraan semudah kedua-dua orang kakaknya itu.

Namun apa sudah jadi selepas namanya kini dikenali gara-gara watak Kinah itu? Muncul cerita-cerita negatif tentang pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Al-Khaired Syed Abu Bakar itu.

Dia dikatakan mula menunjuk belang dan bersikap sombong apabila menolak untuk melakukan sesi fotografi dengan pihak media. Sebelum ini juga, Sakinah pernah dilanda kontroversi apabila dikatakan bergaduh dengan pelakon Julia Ziegler kerana menyebarkan cerita tidak benar tentang pelakon itu.

Ada penjelasan tersendiri daripada Sakinah, 23, yang ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan barisan pelakon filem Ular terbitan KRU Studios di Cyberjaya baru-baru ini.

Kosmo!: Bagaimanakah kontroversi antara Sakinah dan pelakon Julia Ziegler terjadi. Khabarnya Sakinah menjaja cerita Julia kononnya dia melakukan perbuatan tidak elok dengan seorang kru produksi sebuah drama?

Sakinah: Memang sebelum ini saya dan Julia ada krisis sedikit. Dia mendakwa saya menyebarkan fitnah tentang dia kepada orang lain. Perkara itu sudah berlalu.

Sakinah memang terkenal dengan watak yang agak kebodohan dalam drama atau telefilem. Kenapa memilih watak-watak tersebut atau memang serasi dengan Sakinah ke?

Saya bukan bawa watak bodoh tetapi sebenarnya lebih kepada watak lurus dan komedi. Saya suka bawa watak sebegitu dan seboleh-bolehnya tidak mahu bawa watak komedi seperti orang lain bawa. Saya mahu cipta sesuatu kelainan. Saya juga ada bawa watak serius iaitu perempuan psiko dalam telefilem Penjara.

Telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang berjaya melonjakkan nama Sakinah dan watak Sakinah dalam telefilem itu begitu diminati ramai. Komen?

Sebenarnya watak saya dalam telefilem itu membosankan tetapi saya cuba warnakan watak tersebut. Saya tiru gaya seorang jurusolek artis yang suka cakap dalam bahasa Inggeris berterabur. Saya berbincang dengan Michael Ang untuk jadikan watak saya sebegitu dan dia bersetuju.

Dengarnya setelah Sakinah mula mendapat tempat dalam industri seni, Sakinah mula berlagak sombong tidak mahu melakukan sebarang sesi fotografi dengan pihak media. Benarkah begitu?

Sejujurnya saya tidak berniat untuk berlagak sombong dengan mana-mana pihak media yang meminta untuk mengadakan sesi fotografi. Sebenarnya, saya tidak mahu disebabkan kurang gemar bersolek dan mendandan rambut. Disebabkan itu, saya menolak untuk melakukan sebarang sesi fotografi. Memang sikap saya tidak suka bersolek. Kalau boleh dalam drama juga saya tidak mahu bersolek.

Walaupun publisiti itu penting untuk seorang artis menaikkan nama tetapi saya lebih selesa begini dan menganggap bidang lakonan sebagai punca rezeki dan kepuasan daripada mengejar populariti.

Anda banyak dilihat berlakon di bawah arahan Michael Ang. Adakah anda seorang pelakon kegemarannya? Khabarnya anda tanpa segan silu pernah menghubungi Michael meminta watak dalam drama atau telefilem arahannya?

Memang saya banyak menerima tawaran lakonan di bawah syarikat Cube Film milik pengarah Michael Ang. Dia banyak bagi peluang kepada saya dan rakan-rakan lain berlakon di bawah drama arahannya. Memang saya ada hubungi dia tanya jika ada watak yang bersesuaian dengan diri saya. Michael bukan sahaja merangkap pengarah tetapi sudah menjadi kawan baik saya. Saya tidak pernah merasakan diri sebagai pelakon kegemarannya. Selain saya, Elfira Loy, Didie Alias, Marsha Londoh dan Sharifah Shahora juga banyak menerima tawaran lakonan daripada Michael.

Boleh cerita sedikit mengenai watak Sakinah dalam filem Ular?

Dalam filem Ular saya bawa watak sebagai Lyn, seorang wanita yang gedik. Lyn mempunyai kawan baik iaitu Amy lakonan Zarina Anjolie. Akhirnya, kami mati akibat dimakan ular. Namun, karakter kami tidak membuatkan penonton menyampah sebaliknya akan kasihan dengan nasib yang menimpa kami di penghujung filem tersebut.

~ Kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top