Wardina berkata, dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno itu seperti yang diminta.
"Jika dia mahu jawapan kepada semua persoalan yang bermain di dalam mindanya sila datang berjumpa saya. Tidak ada sebab mengapa saya perlu membalas dengan menulis kenyataan saya untuk dia meletakkan jawapan saya itu di dalam blognya.
"Biarlah orang ramai sendiri yang membuat penilaian terhadap semua perkara yang ditimbulkan kerana saya sudah penat untuk bercakap mengenai hal tersebut," ujarnya.
Antara petikan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com mempersoalkan kejadian samun Wardina.
Wardina diminta mengulas mengenai tulisan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com yang mempersoalkan kononnya dia memperbesar-besarkan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya semata-mata untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan publisiti.
Penulis blog itu juga mempertikaikan tindakan Wardina yang mendakwa berada dalam keadaan trauma tetapi sempat meminjam komputer milik jiran untuk menulis kejadian yang berlaku menerusi Twitter miliknya.
Dalam pada itu, Wardina berkata, dia tidak berasa terkesan dengan tulisan tersebut sebaliknya menganggap penulis blog itu terlalu mempunyai banyak masa untuk menulis pelbagai cerita mengenai orang lain.
Wardina berkata, dia juga tidak risau dengan pandangan masyarakat yang membaca entri tersebut kerana percaya mentaliti masyarakat di negara ini sudah cukup bijak untuk menilai sama ada kejadian tersebut benar atau tidak.
"Mungkin ada segelintir pihak akan terpengaruh dengan entri tersebut dan memikirkan perkara negatif mengenai diri saya, tetapi saya percaya itu hanya mewakili segelintir pihak sahaja.
"Rakan-rakan dan keluarga tahu apa yang sebenarnya yang berlaku dan pada tahap ini itu sudah memadai," ujarnya.
Sementara itu, Wardina berkata, penulis blog tersebut sepatutnya menulis sesuatu yang lebih bermanfaat dan berfaedah sebagai bahan bacaan supaya dapat mengembangkan minda masyarakat.
Katanya, walaupun kejadian samun yang berlaku terhadapnya mendapat liputan luas tetapi ia telah membuka mata banyak pihak supaya menjadi lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan keluarga.
"Ada perkara yang lebih penting untuk saya fikirkan daripada melayan karenah orang sebegini yang nyata hanya membuang masa," ujarnya.
Pada 12 Januari lalu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat milik beliau sebelum mengarahkan semua anggota keluarga Wardina berkumpul.
~ Mstar
# Apa-apa pun, betul kata Wardina. Jadikan kejadian kes samunnya sebagai iktibar bagi masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam keselamatan rumah.
0 ulasan:
Catat Ulasan