Setiap tahun lebih 10 kumpulan pemuzik tempatan dan luar negara mengadakan persembahan di festival tersebut. Tahun ini kumpulan hardcore, Dirty Rotten Imbeciles (D.R.I.) dari Amerika Syarikat antara yang akan memeriahkan festival itu.
Sementara kumpulan tempatan yang akan terbabit pula antaranya Bloodshed, Koffin Kanser, Infectious Maggots dan Lobotomy.
Setiap kali festival itu dianjurkan, bilangan peminat yang hadir bukan sahaja semakin bertambah ramai. Malah, KL Metal Camp yang diadakan di merata-rata tempat di sekitar Kuala Lumpur turut dikenali di luar negara hingga menarik minat banyak kumpulan dari luar negara.
Festival yang biasanya diadakan dari pukul 3 petang hingga 12 malam dengan hampir 1,000 penonton itu biarpun baru setahun jagung dianjurkan tetapi merupakan antara yang terbaik dan wajar dicontohi.
Ini kerana KL Metal Camp berjaya mengekalkan etikanya yang tersendiri sejak dulu. Antaranya dengan hanya mengambil kumpulan-kumpulan metal yang sesuai dengan tema dan cita rasa para peminat festival tersebut.
Ia berlainan dengan festival muzik tanah air lain yang semakin lama semakin malap kerana kurangnya sensitiviti seperti itu.
Tidak mustahil jika KL Metal Camp terus dipromosikan, selain sokongan dan persembahan kumpulan-kumpulan terkenal dari luar negara, ia mampu mempopularkan lagi festival muzik metal itu pada masa hadapan.
Sehubungan itu, semua pihak harus memainkan peranan ke arah itu. Pihak seperti Agensi Pusat Permohonan Penggambaran dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) yang terletak di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) seharusnya memberi kerjasama dalam memudahkan urusan itu.
Peraturan-peraturan yang ketinggalan zaman seperti imej artis lelaki yang berambut panjang seharusnya dipadamkan daripada peraturan Puspal. Asalkan persembahan yang diadakan tidak menyentuh soal sensitiviti agama dan kaum maka ia seharusnya diberi kelonggaran.
Selain itu, festival seperti KL Metal Camp mampu membuka peluang para pemuzik tempatan berkongsi pentas dan pengalaman dengan pemuzik dari luar negara yang akan dijemput kelak. Perkembangan itu akan memberi persepsi yang baik buat kalangan pemuzik metal dari luar negara.
Sebab itu, tidak hairanlah semakin ramai pemuzik dari luar negara yang berminat untuk mengadakan persembahan di negara ini selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada festival-festival yang diadakan sebelum ini. KL Metal Camp turut semakin mendapat kepercayaan ramai.
Jika tidak mana mungkin Karl Willetts, vokalis kumpulan Bolt Thrower dari England begitu bangga memakai kemeja-T KL Metal Camp pada Festival Summer Breeze di Jerman tahun lalu. Kemunculan Willetts itu disiarkan di You-Tube dan ditonton ribuan pelayar Internet.
Justeru, KL Metal Camp seharusnya mendapat sokongan semua pihak terutamanya Puspal. Ia secara tidak langsung boleh memadamkan prejudis segelintir pihak yang selama ini memandang muzik metal ibarat kacang hantu berbanding muzik-muzik arus perdana yang lain
0 ulasan:
Catat Ulasan