Ujibakat pertama rancangan realiti On Air yang diadakan di Pulau Pinang pada 14 dan 15 Januari lalu telah menerima kejutan apabila pengacara terkenal, Datin Seri Normala Shamsudin muncul sebagai juri jemputan.
Namun Normala Shamsudin tidak keseorangan kerana juri tetap iaitu pengacara, Aznil Hj Nawawi selaku ketua juri dan Suhaimi Sulaiman telah bersama-sama memilih serta menguji bakat pengacara baru di setiap lokasi ujibakat.
Menariknya, lokasi pertama ujibakat On Air telah mendapat sambutan yang hangat daripada lebih 200 orang selama dua hari ujibakat dijalankan.
Malah, kaunter pendaftaran yang terletak di Red Box Karaoke, Gurney Plaza, Pulau Pinang sudah mula dipenuhi seawal jam 8 pagi.
Ketua juri, Aznil Hj Nawawi yang terharu dengan sambutan yang diberikan walau bagaimanapun mengingatkan mereka yang berminat untuk menghadiri sesi ujibakat di lokasi seterusnya agar datang dengan keadaan yang lebih bersedia.
"Saya ingin mengingatkan mereka yang akan hadir untuk diuji bakat di lokasi yang seterusnya supaya tidak meniru gaya pengacara yang sedia ada tetapi tampil dengan gaya yang bersahaja tetapi menyakinkan. Gaya penyampaian seperti seorang pendebat dan pakar motivasi juga harus dielakkan.
" Selain itu,penampilan memainkan peranan yang penting dalam menambat hati para juri. Ramai yang gagal di Pulau Pinang kerana ada yang datang dengan berselipar yang secara tidak langsung menampakkan keperibadian yang tidak serius dalam menempah tempat ke arena pengacaraan," kata Aznil lagi.
Menerusi konsep program On Air tersebut, 14 peserta yang terpilih menerusi uji bakat perlu menjalani kursus melalui silibus yang telah ditentukan untuk memantapkan lagi pengetahun dan ilmu mereka daripada pelbagai genre pengacaraan.
Setiap peserta akan diberi tunjuk ajar, pendedahan serta tugasan tertentu selama 10 minggu yang berlandaskan format televisyen iaitu Berita, Majalah dan Hiburan.
Juara bakal memenangi kontrak sebagai Artis Residen Astro selama tiga tahun dan pelbagai hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kelak.
Pencarian pengacara berkaliber akan diteruskan lagi ke lokasi seterusnya ke Johor iaitu di The Puteri Pacific, Johor Bahru pada 21 dan 22 Januari ini, Sarawak di Merdeka Palace, Kuching (28 dan 29 Januari) dan lokasi terakhir di Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil, Kuala Lumpur (4 dan 5 Februari).
0 ulasan:
Catat Ulasan