Peminat setia Jamal Abdillah di Ipoh, Perak pasti teruja apabila mendapat tahu penyanyi bersuara emas itu akan mengadakan konsert sulung berskala besar pertama di Ipoh pada 28 Januari ini. Dianjurkan oleh Bombay WorldWide Sdn. Bhd. dan Persatuan Budak Bus Stand Ipoh (BBSI) konsert berkenaan akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada pukul 8.30 malam.
Menurut Jamal, konsert yang dinamakan Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 itu adalah sebagai penghargaan buat peminat di kampung halaman yang menyokongnya selama ini.
“Peluang mengadakan konsert di Ipoh amat baik sebab belum pernah saya mengadakan konsert solo yang besar macam ini di sana walaupun berkeinginan untuk melakukannya sejak dulu lagi. Sebelum ini, saya cuma mengadakan persembahan kecil sahaja di sana.
“Sebagai rakyat negeri Perak saya bangga kerana dapat mengadakan konsert besar di negeri kelahiran saya. Ini juga merupakan peluang terbaik untuk mengadakan konsert di sana kerana apatah lagi sekarang ini Tahun Melawat Perak,” ujarnya mengenai keterujaannya mengadakan konsert di tempat sendiri.
Ungkap Jamal lagi, sebelum ini bukan dia tidak pernah menerima pelawaan untuk mengadakan konsert secara besar-besaran di Ipoh tetapi keadaan tidak mengizinkan untuknya menerimanya pada masa itu.
Diiringi pemuzik profesional dari Kuala Lumpur, Jamal akan menghiburkan peminatnya selama dua jam setengah dengan 28 buah rangkaian lagu popularnya.
Pada konsert itu nanti, Jamal akan mengadakan persembahannya melalui tujuh segmen berbeza berdurasi selama 12 minit untuk setiap segmen.
“Antara segmen yang akan saya tampilkan adalah duet, pencarian gadis Melayu, lagu-lagu dari filem popular, lagu-lagu Datuk Ahmad Nawab dan lagu-lagu P. Ramlee,” kata Jamal yang bakal keluar dengan jenama sendiri iaitu JA selain bakal menghasilkan jenama minyak wangi sendiri iaitu Azura dan Zack.
Tiket-tiket berharga RM80, RM140 dan RM300 dan pembelian boleh dibuat melalui online dengan melayari www.tiket2u.biz.
Peminat yang membeli tiket berharga RM300 berpeluang bertemu Jamal selepas konsert dan menikmati hidangan Hi-Tea bersama penyanyi itu.
Peminat Jamal juga boleh membeli tiket dengan mengunjungi Ipoh Rumpun, Medan Istana, Fuzwa Enterprise (Kedai Kek Watie) di Greentown Mall, Yeop CD Jalan Perwira, Kampung Manjoi, Ipoh, Along Corner (Gerai Majlis Daerah Kinta Barat, Batu Gajah) Adam Celphone Centre di Super Kinta dan Eezi Wedding Centre.
0 ulasan:
Catat Ulasan