Biodata Profil Datuk Sudirman Haji Arshad

Nama: Datuk Sudirman Haji Arshad
Tarikh lahir: 25 Mei 1954
Tarikh kematian: 22 Februari 1992
Asal: Temerloh, Pahang
Kerjaya: Penyanyi, peguam, pelakon, penulis dan ahli perniagaan

Perkahwinan: Berkahwin pada 14 Februari 1981 dengan Kamariah Jamaluddin, bercerai selepas tiga tahun kemudian

Kejayaan: Juara Bintang RTM (1976), Penghibur Terbaik RTM (1977), Penghibur TV Terbaik (Anugerah Seri Angkasa, 1978), Duta Nyanyian Pelancongan Malaysia (1986), Konsert Gergasi Chow Kit Road (1986), Persembahan Terbaik menerusi lagu Merisik Khabar (Anugerah Juara Lagu, 1987), Penyanyi Lelaki Popular (Anugerah Bintang Popular, 1989), Penghibur Nombor 1 Asia (1989), Pingat Ahli Mahkota Pahang (1992), Darjah Indera Mahkota Pahang (membawa gelaran Datuk, 2009)


Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad telah bertahun-tahun kembali ke rahmatullah.

Begitu pantas sekali masa berlalu namun yang jelas, legasi Sudirman menerusi lagu-lagunya tetap mekar dalam persada seni di Malaysia.

Tidak kira dalam babak percintaan, kekeluargaan, patriotik mahupun sambutan hari raya, lagu-lagu dendangan Sudirman atau Sudir begitu sinonim dengan masyarakat Malaysia kerana ia mampu membangkitkan pelbagai perasaan.

Siapa yang boleh menafikan kehebatan lagu seperti Hujan, Merisik Khabar, Pelangi Petang, Nilai Cintamu, Salam Terakhir, Balik Kampung, Chow Kit Road! Chow Kit Road!, Anak Dagang, Basikal Tua, Ayah Dan Ibu, Warisan, Anak Gembala serta dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf.

Semuanya ada nilai sentimental tersendiri hingga belum ada artis angkatan baru mampu memecahkan rekod jumlah album dan lagu yang dirakamkan ketika hayat dulu.

Mengimbas semula latar belakang dan sejarah hidup Sudirman sendiri sudah cukup mengilhamkan sebuah filem cereka atau autobiografi yang hebat. Namun sehingga kini belum ada pengarah yang berani menghasilkan karya seperti itu.

Apa yang nyata, sikap dan perjuangan insan bertubuh hanya setinggi 1.47 meter itu sudah cukup menggambarkan betapa istimewanya bakat beliau. Dia nyata seorang penghibur berilmu.

Peluang menyertai dan seterusnya menjadi Juara Bintang RTM 1976 menjadi titik tolak yang mengubah terus sejarah hidup Sudirman buat selama-lamanya. Tanpa Internet, YouTube dan laman sosial pada zaman beliau pun, Sudirman masih mampu menawan hati jutaan peminat di Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia.

Lebih penting, mereka yang menggemari Sudirman bukan saja masyarakat Melayu, sebaliknya semua bangsa kagum dengan kebolehan beliau menyampaikan lagu pelbagai bahasa yang sering dinyanyikan termasuk Inggeris, Cina dan Tamil dalam pelbagai genre.

Di pentas, Sudirman sentiasa kreatif melahirkan pelbagai gimik. Antara `trademark' beliau adalah menyanyi sambil melakar wajah tetamunya. Malah lakaran kartun Sudirman pernah menghiasi sebuah majalah hiburan suatu ketika dulu.

Secara ringkas, dalam bahasa lain seperti Cina dan India pada persembahannya. Malah, beliau juga tak kekok mengajak peminat beraksi bersamanya di pentas.

Seorang penghibur yang ramah dan suka merendah diri, Sudirman mencatat kenangan paling bermakna sebagai Penghibur Terbaik Asia dalam Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Siapa sangka bintang dia berjaya menewaskan penghibur hebat lain dari Hong Kong, Singapura, Filipina, Indonesia dan China.

Anak bongsu daripada lima beradik, bakat seni Sudirman mula tergambar sejak kecil apabila kerap menyertai koir, bersyair, berpidato, berpantun dan teater sekolahnya iaitu Sekolah Rendah Abu Bakar (Mentakab), Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia (Temerloh) dan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (Kuantan).

Pun begitu, dia rajin belajar dan kepintarannya dalam bidang pelajaran akhirnya membawa beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian ke Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) pada 1976 dan pada 1980, beliau menerima segulung ijazah.

Pada 1983, Sudirman pernah menjalani latihan guaman dan diiktiraf sebagai peguam setahun kemudian. Namun dia mengambil keputusan meninggalkan bidang guaman kerana minat yang terlalu mendalam kepada bidang seni.

Apapun, pilihan dibuat Sudirman yang memilih seni sebagai kariernya adalah tepat dan berbaloi kerana kemunculannya terus diterima peminat dengan pantas.

Selepas mencipta nama, Sudirman tidak lupa untuk terus menghargai peminat yang menjadi tulang belakang terhadap kejayaannya itu lalu muncul dalam konsert terbuka di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 1986. Ia ditonton ratusan ribu warga kota dan kekal sebagai satu sejarah manis buat Chow Kit Road sendiri.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top