Penggiat seni kreatif tempatan dan asing yang menjalankan penggambaran di negara ini akan diberikan rebat sebanyak 30 peratus melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang mula dilaksanakan tahun ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pengenalan FIMI itu diharap dapat menarik minat pengeluar filem asing memilih Malaysia sebagai destinasi penggambaran dan menjalankan aktiviti perfileman mereka.

Selain itu insentif berkenaan diharap dapat meningkatkan azam penggiat seni tempatan untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.

"Malaysia menawarkan kelainan dari segi kos yang lebih efisien, barisan karyawan, artis dan krew yang boleh menyumbang karya yang jitu serta lokasi penggambaran yang mencerminkan rantau Asia," katanya dalam ucapan pelancaran FIMI di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Ketua Setiausaha KPKK Datuk Seri Kamaruddin Siaraf pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Finas Datuk Md Afendi Hamdan dan Ketua Pengarah Finas Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah.

Rebat 30 peratus perbelanjaan dalam negara selepas diaudit akan diberikan kepada produksi tempatan dengan had minimum perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta bagi aktiviti produksi dan pascaproduksi dan RM500,000 bagi aktiviti pascaproduksi sahaja.

Bagi produksi asing pula, had minimum aktiviti produksi dan pascaproduksi perlu berjumlah RM5 juta dan bagi pascaproduksi sahaja, RM1.5 juta.

Rais berkata FIMI turut dilaksanakan bagi menangani permasalahan industri perfileman dan kandungan kreatif tempatan seperti dapat menambah peluang pekerjaan artis dan krew tempatan sepanjang penggambaran berlangsung.

Beliau berkata ia juga dijangka mampu meningkatkan jumlah serta memantapkan kualiti filem yang diterbitkan sama ada sebagai satu usaha tempatan 100 peratus ataupun perjanjian kerjasama dengan produksi, penerbit dan pengedar filem asing.

Pada majlis pelancaran itu, turut diumumkan ialah tarikh penyampaian anugerah Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM-25) yang akan berlangsung pada 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

FFM-25 yang memasuki sambutan Jubli Perak tahun ini melibatkan penganjuran bersama Finas dan persatuan filem tempatan seperti Gafim, PFM, Karyawan dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran dengan tema 'Merayakan Perak Mengilhamkan Emas'.

Anugerah itu dianjurkan setiap tahun bagi mengiktiraf hasil karya filem tempatan dan terbahagi kepada beberapa kategori seperti Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Wanita dan Lelaki Terbaik serta Sinematografi Terbaik. - Bernama

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top