Masalah penagihan dadah selebriti
Masalah penagihan dadah melibatkan golongan selebriti memberi kesan negatif kepada masyarakat kerana mereka sering dijadikan ikon oleh para peminat.

Menurut Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh selama tujuh tahun sehingga sekarang, hanya merekodkan 20 tangkapan selebriti.

“Antara ditangkap ialah penyanyi berkumpulan dan solo, pelawak, pelakon dan pengamal media iaitu pengacara rancangan popular yang dianggap sebagai selebriti. Kesemua mereka adalah berketurunan Melayu," katanya.

Jamaludin berkata, polis percaya ada ramai lagi artis terlibat dalam penagihan dadah tetapi nama mereka tiada dalam rekod PDRM kerana tidak pernah ditangkap sehingga kini.

Beliau berkata, ada juga artis yang ditangkap kerana dakwaan menagih atau memiliki dadah dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan mengikrarkan diri mereka bersih daripada najis dadah setelah kes mereka dibicarakan di mahkamah.

Katanya, pembebasan artis yang pernah disabitkan dadah ini bukan bermakna polis silap membuat tangkapan terhadap mereka tetapi mereka bernasib baik setelah ujian air kencing dijalankan oleh patologi di Jabatan Kimia mendapati kandungan dadah dalam air kencing mereka tidak mencapai bacaan yang dikehendaki untuk mensabitkan mereka positif mengambil bahan larangan itu.

“Kita yakin 99.9 peratus individu termasuk artis yang pernah ditahan kerana dadah sebelum ini memang positif mengambil bahan larangan itu semasa ujian air kencing pertama kali dilakukan.

“Namun ada yang terlepas semasa perbicaraan di mahkamah kerana hasil ujian air kencing dijalankan oleh patologi selepas itu mendapati negatif kerana kandungan dadah dicatatkan mungkin 700 miligram, iaitu tidak mencapai standard bacaan 1,000 miligram yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia sedangkan bacaan standard polis bagi kategori positif dadah adalah lebih rendah iaitu 500 miligram," katanya.

Selain itu, jelas Jamaludin, kandungan dadah bertahan dalam air kencing individu juga bergantung kepada kadar metabolisme iaitu dadah jenis ganja boleh bertahan sehingga dua minggu tetapi jenis psikotropik hanya mampu kekal dalam air kencing dalam tempoh 24 hingga 48 jam sahaja.

Beliau berkata, sebab itu, mereka yang ditahan kerana menagih dadah jenis psikotropik sukar disabitkan positif kerana kandungan bahan larangan itu dalam air kencing mereka akan berkurangan atau neutral dalam tempoh 24 hingga 48 jam akibat proses metabolisme secara semula jadi.

Katanya, rekod PDRM menunjukkan hanya 30 peratus penagih dadah yang ditangkap didapati positif selepas ujian air kencing dijalankan oleh patologi, manakala baki 70 peratus terlepas daripada tuduhan sedangkan hakikatnya mereka memang mengambil bahan larangan itu.

~ Utusan Melayu (M) Bhd

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top