Hantu Kak Limah 2 pungut RM3 juta dalam lima hari
Filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (HKL2) mencatat kutipan hampir RM3 juta sepanjang lima hari tayangan, bermula 7 Februari lalu.

Ia sekali gus menjadikan filem arahan Mamat Khalid itu sebagai judul paling berjaya dari segi pungutan pecah panggung pada tahun ini.

Penerbitnya, Gayatri Su-Lin Pillai, berkata kejayaan yang diperoleh hasil kekuatan strategi kumpulan promosi Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) yang memanfaatkan semua medium media.


"Sesuatu yang agak mengejutkan apabila kutipan itu melepasi apa yang dijangka. Tidak dinafikan promosi memainkan peranan besar dalam menghebahkan filem ini kepada orang ramai.

"Sejak tahun lalu lagi, menerusi filem Hoore! Hoore!, pihak kami menggunakan peruntukan lebih tinggi untuk tujuan promosi, memandangkan 2012 ialah tahun yang mencabar," katanya ketika dihubungi HIP, semalam.

Impak Lamunan Terhenti

Filem yang menelan belanja RM1.65 juta dan ditayangkan di 74 pawagam seluruh negara itu tidak berhadapan jalan sukar memandangkan judul susulan daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah itu mempunyai pengikut yang ramai.

"Kami memanfaatkan semua medium media yang ada untuk tujuan promosi. Kami juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak pawagam, apabila mereka membuka dua dewan tayangan jika dewan pertama penuh.

"Begitu juga dengan kekuatan lagu yang dinyanyikan Awie dan Ezlynn, Lamunan Terhenti versi baru banyak mendapat permintaan daripada stesen radio untuk diputar. Secara tidak langsung ia memberikan promosi yang baik kepada filem ini," katanya.

Gayatri turut menyatakan, filem itu bertuah kerana tidak berhadapan saingan kuat daripada filem cereka tempatan lain apabila ia menemui penonton pada musim cuti Tahun Baru Cina.

Selain Awie dan Ezlynn, HKL2 juga menonjolkan watak baru lakonan Rashidi Ishak. Pelakon asal seperti Allahyarham Zami Ismail (Pak Abu), Shy8 (Usop Wilcha), Man Kadir (Pak Jabit) dan Delimawati (Kak Limah) masih dikekalkan.

Ia mengisahkan penduduk Kampung Pisang dilanda musibah apabila sejarah misteri 45 tahun dulu kembali menghantui penduduk kampung. Kejadian kehilangan lelaki teruna menimbulkan tanda tanya. Husin yang baru pulang dari Singapura kerana muflis akibat ditipu Skim Cepat Kaya turut disembunyikan makhluk halus.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top