Sinopsis Broken Vow

Telenovela Broken Vow 43 episod ini mengisahkan seorang gadis kampung bernama Melissa Santiago (Bianca King) yang bercinta dengan pemuda kaya, Roberto Sebastian (Gabby Eigenmann).

Meskipun Melissa dan Roberto mempunyai latar belakang berbeza namun keikhlasan cinta mereka membuatkan kedua-duanya bersedia mendirikan rumah tangga.

Namun kebahagiaan yang dinikmati hilang sekelip mata apabila satu kejadian menimpa Melissa, sekali gus meninggalkan kesan hitam dalam hidupnya.

Melissa dirogol sekumpulan pemuda, namun malangnya dia tidak dapat mengecam raut wajah perogol itu.

Berita mengenai Melissa dirogol tersebar luas di seluruh kampung dan musibah yang menimpa turut mengheret keluarga Roberto menjadi buah mulut penduduk kampung.


Hasilkan kontroversi

Roberto membuat keputusan menghentikan kontroversi yang berlaku dengan mengahwini Melissa secepat mungkin.

Sehari sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan mereka, Melissa mendapati dirinya hamil akibat kerakusan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Nasib Melissa diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Roberto tidak dapat menerima keadaan Melissa yang sedang mengandung anak lelaki lain dan meninggalkannya pada hari perkahwinan mereka.

Tindakan Roberto itu memberikan tamparan hebat buat Melissa. Dunia menjadi gelap dan bagaikan tiada lagi hari untuk esok. Melissa bertindak membunuh diri namun diselamatkan Felix Rastro (Luis Alandy).

Kehadiran Felix bagaikan sinar baru kepadanya. Sikap sabar dan prihatin yang ditunjukkan Felix terhadap Melissa dan anaknya, Eva membuatkan keperitan yang dilaluinya semakin terubat.

Malah Melissa juga mula jatuh hati pada Felix. Ketika Melissa mula merasai nikmat kebahagiaan bersama Felix, hidupnya didatangi semula oleh lelaki yang pernah menjadi sejarah dalam hidupnya. Roberto kembali untuk menebus kesalahannya dengan meminta peluang kedua. Adakah Melissa akan kembali kepada cinta pertamanya? Apakah yang akan berlaku seterusnya? Ikuti kisah mereka dalam Broken Vow setiap Isnin hingga Khamis jam 3 petang di TV3 bermula 27 Februari ini.

Telenovela Broken Vow menggandingkan pelakon popular Filipina iaitu Bianca King, Gabby Eigenmann dan Luis Alandy bakal menemui peminat setia TV3 mulai 27 Februari 2013.

Artikel disediakan oleh Unit Perhubungan Awam & Acara TV3

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top