Pertandingan Akhir Dikir Barat 2012 akan berlangsung dari Auditorium Kompleks JKKN Kelantan di Kota Bharu, malam ini dan dipancarkan menerusi TV1 mulai jam 9 malam.

Dalam persaingan final itu nanti, dua kumpulan terbaik akan berentap iaitu Kumpulan Sri Tanjung, Pantai Sabak (Pengkalan Chepa) serta Kumpulan Sri Istana Depan Giat Mara (Tumpat).

Acara menarik yang dihoskan Hanie Hamid bersama Shahril Sarapudin ini turut menampilkan sketsa jenaka selain persembahan artis popular tanah air.

Penerbit rancangan itu, Haliza Mat Kharsa berkata, kesemua krew penerbitan hiburan kini berada di Kota Bharu untuk menjayakan siaran secara langsung itu.

“Kami berada di Kelantan sejak beberapa hari lalu dan persiapan akhir sudah pun dibuat bagi memastikan pertandingan itu berjalan lancar.

“Saya terharu dan berbangga kerana diberi peluang mengemudi pertandingan itu kerana ia cukup unik dan menampilkan kelainan.

“Selain kedua-dua kumpulan itu, kami juga mengundang artis popular seperti Rahmat Mega, Roy Kapilla dan Haziq untuk menjayakan segmen selingan.

Tidak ketinggalan bakat baru Man Khan dan Adik Anis Natasya serta beberapa bakat tempatan termasuk Che Awe & Jali dari Kelantan yang menyampaikan lagu popular dan sketsa.

“Sebagai tambahan, persembahan Dikir 3D serta Dikir 1Malaysia berkonsepkan muhibah turut ditonjolkan bagi tatapan semua penonton,” katanya kepada RAP, semalam.

Dikir barat yang dipercayai ada pengaruh Siam adalah satu lagi warisan dalam budaya tradisional Kelantan yang dikenali sejak zaman berzaman.

Bagi yang pernah mengikuti Dikir Barat, tentunya tahu persembahan secara berkumpulan ini membabitkan Tukang Karut, Tok Juara dan juga awak-awak.

Ia ditampilkan dalam karangan cerita bersama pantun yang kreatif dan lucu sambil diringi instrumen muzik tradisi seperti rebana, gong, canang dan marakas.

Juara akan menerima wang tunai RM40,000 dan naib juara RM30,000 tajaan Adabi. Tukang Karut Terbaik dan Tok Juara Terbaik masing-masing menerima RM5,000.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top