Velvet atau nama sebenarnya, Velvet Lawrence Aduk tiba-tiba menyepikan diri setelah berkahwin pada tahun 2008.

Namun, kerana minatnya yang masih mendalam Velvet kini kembali meneruskan impiannya bergelar penyanyi.

Velvet menegaskan bahawa dia tidak pernah bersara dari bidang nyanyian walaupun selepas lima tahun menyepi.

“Sebenarnya, saya masih mendapat tawaran menyanyi dan ketika itu, saya menjadi penyampai radio Suria FM selama tiga tahun. Saya menjadi penyampai radio ialah untuk mencari pengalaman dalam hidup.

“Banyak juga pengalaman baharu yang saya peroleh. Dalam masa yang sama, saya boleh luangkan banyak waktu bersama keluarga,” tutur isteri kepada vokalis kumpulan Estranged, Rich. Mereka kini mempunyai dua orang anak.

Velvet
Namun, untuk meneruskan impiannya menjadi penyanyi, Velvet telah pun berhenti kerja dan kini menetap di Kuala Lumpur.

“Saya mahu kembali mewarnai dunia muzik dan meneruskan karier dengan bergelar penyanyi berjaya. Setelah berkahwin dan dua orang anak juga sudah besar, kini saya boleh tumpukan perhatian terhadap karier,” jelasnya.

Tambah ibu muda berusia 25 tahun ini, sebenarnya keputusan untuk kembali ke industri adalah di atas sokongan suaminya sendiri. Setelah berbincang, kini dia bakal muncul dengan sebuah single baharu yang berjudul Tanpa Terluka.

“Tanpa Terluka ini telah digubah dan ditulis lirik oleh Gio Wibowo yang bergenre balada. Mungkin menjadi rezeki saya juga, kerana single ini akan menjadi runut bunyi bagi sebuah drama yang bakal disiarkan di TV3 berjudul Kisah Cinta.

“Perancangan bagi single ini dalam masa hampir setahun dan setelah beberapa kali berjumpa dengan Gio, baru dia menghasilkan lagu untuk saya berdasarkan genre serta konsep yang saya bawa,” tutur Velvet.

Velvet menghasilkan single ini dengan menggunakan wang sakunya sendiri.

“Mungkin perbezaan Velvet dahulu dan kini ialah saya semakin matang berbanding sebelum ini kerana masih muda.

“Muzik yang akan saya bawa juga lebih sesuai dengan usia saya. Saya berharap peminat muzik tempatan dapat menerima single dan kehadiran semula saya dalam industri,” akhiri Velvet.

~ Kosmo

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top