Pelakon Fizz Fairuz, 34, mencetuskan satu lagi kontroversi apabila membuat kenyataan ikatan pertunangan dengan Azlyn Massiela Mohd Nazar, 26, sudah terlerai atas alasan baru mengetahui wanita itu isteri kedua seorang usahawan. Bukan hanya peminat terkejut, malah gadis berasal dari Kuantan, Pahang itu serta keluarganya tersentak dengan dakwaan yang disifatkan pembohongan, selain tidak mengetahui motif sebenar pelakon itu berbuat demikian, sedangkan sedari awal dia mengetahui statusnya yang belum pernah berkahwin.

Lebih mengecewakan pihak perempuan apabila pelakon itu turut membuat pengakuan tidak mengetahui latar belakang dan tidak mengenali ahli keluarganya. Walhal sejak mula bercinta setahun lalu, masing-masing saling mengunjungi keluarga kedua-dua belah pihak, selain kerap menghadiri apa juga majlis membabitkan saudara terdekat.

Ketika Fizz menyepikan diri dengan mematikan telefon bimbitnya, HIP berpeluang mendengar keluhan pengarah di sebuah syarikat milik keluarganya itu untuk mendedahkan perkara sebenar.

Hingga kini, lelaki yang pernah menjalin cinta dengan aktres, Almy Nadia itu dikatakan tidak bercakap benar kerana langsung tidak menghubungi atau memulangkan cincin seperti dihebohkan semalam, hingga anak ahli perniagaan itu bingung dengan status dirinya.

HIP (H): Apa reaksi anda sebaik kenyataan Fizz terpampang di muka depan akhbar?

Azlyn (A): Saya tergamam dan terus menangis. Tergamak dia mengeluarkan tuduhan sedemikian. Pelik sebab tanpa usul periksa, dia seberani itu menjatuhkan maruah saya dan keluarga. Saya berani menyatakan tidak pernah berkahwin sepanjang 26 tahun usia ini. Dia boleh periksa di mana-mana pejabat agama atau bertanya terus kepada ibu bapa perihal status sebenar diri saya. Kalau pun saya sudah punya suami selepas bernikah di sempadan, takkan emak bapa saya tidak menghalang saya berkahwin lain? Kami masih ada agama, tahu hukum-hakam. Jangan jatuhkan air muka mereka dengan cerita sebegini. Andai sudah tidak lagi menyayangi, saya boleh terima kenyataan, tetapi bukan dengan cara mengaibkan orang tua saya. Emak dan ayah saya turut menangis mengenangkan apa yang dilakukannya (Fizz).

H: Bagaimana hubungan anda bermula?

A: Kami bertemu lima tahun lalu selepas diperkenalkan rakan, tetapi ia hanya setakat itu hinggalah setahun lalu kami berjumpa sekali lagi di set penggambaran drama lakonannya. Dia yang memulakan langkah dengan meminta nombor saya. Sejak itu kami mula berkawan dan menjadi semakin intim. Saya nampak kesungguhannya terutama ketika dia membuat kejutan lamaran. Saya masih simpan lagi kenangan itu. Fizz menangis ketika melamar, membuatkan saya sebak.

H: Fizz tahu latar belakang dan mengenali keluarga anda?

A: Sebagai anak bongsu daripada empat beradik, saya rapat dengan ibu bapa. Tentu saja saya perkenalkan Fizz sebagai teman lelaki. Malah dia juga mesra dengan orang tua saya. Mereka menyenangi sikap Fizz yang pandai mengambil hati. Dia pernah berkunjung ke rumah keluarga saya di Kuantan dan selepas itu saling berbalas pesanan dengan orang tua saya. Hubungan saya dengan keluarganya terutama ibu serta adik-beradiknya juga rapat. Dia juga pernah ke rumah bapa saudara saya di Bukit Jelutong dan saya turut memperkenalkannya kepada ibu saudara saya yang baru pulang dari Australia. Mustahil dari situ dia boleh kata tak tahu latar belakang saya.

H: Apakah Fizz pernah bertanyakan status anda sebagai isteri orang, atau memaklumkan ingin putus tunang?

A: Tidak pernah. Kali terakhir kami bertemu ketika meraikan ulang tahun emak Fizz minggu lalu di Plaza Damas dengan adik-beradiknya dan di Shah Alam bersama ahli keluarga lain, termasuk kakak saya, dia macam biasa saja. Sebelum pulang ke Kuantan pun dia sempat mengucapkan 'I love you'. Hingga kini saya bingung kerana tidak tahu apakah saya masih tunangnya atau tidak? Cuma, saya sudah menyimpan cincin pertunangan kami di dalam kotak. Dia langsung tidak hubungi keluarga saya untuk berbincang seperti didakwa. Kali terakhir kami berhubung selepas saya sampai di Kuantan.

H: Bagaimana percintaan anda berdua kalau jarang berhubung?

A: Memang sejak kami serius, Fizz mengingatkan saya supaya jangan mengongkongnya seperti kekasih dulu. Kalau sedang bekerja, dia pantang diganggu. Saya sudah terbiasa sebegitu. Kalau dia tidak menghubungi saya dua tiga hari pun, bagi saya itu perkara biasa. Andai dia sibuk, Fizz akan meminta orang lain temankan saya, termasuk adik perempuannya. Kadangkala kami sekadar bertukar mesej menerusi BBM. Saya tak kisah walaupun Fizz sedari awal mengingatkan jangan menghebohkan percintaan kami. Saya tahu kisah cintanya dengan Almy sebelum ini, mungkin dia tidak mahu orang mengungkit. Saya bukan artis dan tidak faham permainan dunia hiburan. Jadi saya ikutkan saja kehendaknya demi menjaga hubungan kami. Dengan rakan baik pun saya tidak dedahkan siapa kekasih hati saya. Atas permintaan Fizz, ketika majlis pertunangan yang dihadiri kirakira 200 ahli keluarga, ibu hanya memaklumkan saya dirisik orang Raub tanpa mendedahkan identitinya. Kami faham dengan situasi hubungan, lalu nama Fizz tidak harus didedahkan.

H: Anda tahu perihal percintaannya dengan Almy?

A: Setiap orang ada sejarah sendiri. Saya terima Fizz seadanya, bukan sebab dia pelakon ataupun kerana wang. Andai saya nak bermegah, saya boleh canang kekasih saya artis, tetapi saya langsung tidak mendedahkan siapa buah hati saya. Fizz sendiri mengaku Almy sekadar kawan, malah sepanjang hubungan kami beberapa kali dia bertemu bekas kekasihnya. Buat apa saya mahu cemburu kerana kelakuannya cukup meyakinkan. Dia bawa saya ke lokasi, jumpa kawan-kawannya, minta menemani ke Anugerah Skrin dan mengambil berat soal diri saya. Cuma saya bukan artis, jadi segala gosip saya tak mahu masuk campur. Soal bertunang pun saya tak paksa, dia yang melamar. Apabila timbul hal ini, tentu saja saya kecewa. Cuma perkara yang membuatkan saya terkejut adalah ketika dia dan Almy bercuti untuk sebuah program ke Korea, Oktober lalu. Fizz meminta saya membelikan baju sejuk, namun selepas melihat gambar di sebuah majalah, rupa-rupanya persalinan itu dipakai Almy, malah dia tidak maklumkan mahu ke sana bersama gadis itu, tetapi saya tidak bersuara kerana memahami tugasannya.

H: Bagaimana Azlyn berhadapan perkara ini?

A: Bohong kalau saya tidak tertekan. Saya malu kerana diperbodohkan. Tertanya-tanya mengapa perkara sebegini menimpa saya? Cuba bayangkan perasaan orang tua saya. Keluarga saya orang baikbaik, kenapa mahu menghina kami seteruk ini? Kasihan ibu bapa saya. Bagaimana mereka mahu berhadapan saudara mara, tetangga dan rakan perniagaan? Saya tahu, sebaik dakwaannya dikeluarkan di akhbar, ramai menghubungi kami termasuk wartawan. Sekarang mahu keluar rumah pun saya malu.

Orang yang tak tahu cerita sebenar tentu saja menempelak saya. Paling teruk dia mengaku terkena sihir. Tolonglah! Tidak perlu keluarkan kenyataan macam itu. Selama ini saya sayang dia seadanya dan berharap dia menerima saya juga seadanya. Dan jangan kaitkan saya mahu menumpang nama dan kesenangannya. Bukan mahu cakap besar, ibu bapa saya masih mampu menanggung saya, malah jawatan sebagai pengarah di syarikat keluarga juga lebih daripada cukup. Tidak perlu menunjuk-nunjuk semua itu kerana dari dulu saya lebih senang bersederhana. Buat Fizz, jangan risau saya takkan aibkan dia. Saya bukan jenis pendendam.


Saya takkan ganggu periuk nasi dia dengan membuat kenyataan melulu. Saya buka mulut ini pun kerana mahu membersihkan nama ibu bapa saya yang tercalar sama.

Sementara itu, ibu Azlyn, Rohani Mustafa, dalam nada sebak meminta pihak keluarga Fizz berhenti menyebarkan dakwaan mengarut yang mengaibkan keluarganya, selain memutuskan pertunangan secara beradat.

"Sebagai anak bongsu, Azlyn sangat rapat dengan saya, malah hubungan kami lebih kepada kawan karib. Segala suka duka kami kongsi bersama. Jadi takkan status dia berkahwin kami tidak tahu? "Apa pun, kami tidak mahu mengambil tahu hal lain, sebaliknya menganggap semua ini sebagai tiada jodoh. Andai ketika meminang dulu mereka mengikut adat, biarlah memutuskannya juga dijalankan secara tertib, bukannya membuat cerita sebegitu dan mencanangkannya seluruh negara.

"Saya hanya mampu berdoa supaya Allah tabahkan hati anak saya. Datanglah secara baik kalau setakat ini takdir mereka. Jangan nak putuskan pertunangan pun mengikut skrip," katanya yang kini membawa anak bongsunya itu ke lokasi rahsia untuk memenangkan fikiran.

Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top