STUBBORN mula dikenali ramai selepas memperkenalkan genre irama Melayu laju dalam industri muzik indie tempatan.

Mula ditubuhkan pada tahun 2006, kumpulan ini nyata kental apabila dua ahli asalnya meneruskan perjuangan yang telah dilaksanakan sejak mereka masih di bangku sekolah lagi.

Kini, kumpulan ini dianggotai oleh empat anak muda yang masing-masing mempunyai kerjaya sendiri tetapi minat yang mendalam terhadap muzik membuatkan mereka terus bersatu.


Ahli kumpulan Stubborn terdiri daripada Anissabri Alaihi Malek, 24, (vokal/gitar), Farul Fadzri Mohammad Fuzi, 23, (gitar), Mohd. Mu'izzudin Mohd. Minhad, 22, (bass) dan Shafiq Farhan Shahidan, 23, (drum).

Menurut Anissabri Alaihi, persaingan yang wujud ketika kumpulannya mula menapak dalam industri muzik indie sememangnya tidak dapat dilupakan kerana sukar untuk mendapatkan kepercayaan daripada peminat dengan mempertaruhkan karya mereka.

“Kami memutuskan untuk mencari dan memiliki ciri-ciri unik untuk membezakan Stubborn dengan kumpulan muzik underground sedia ada agar mudah dikenali oleh peminat.

“Stubborn mula bergerak serius pada tahun 2009 dan mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik underground apabila mencipta genre yang agak unik iaitu irama Melayu laju," katanya.

Single pertama mereka bertajuk Mimpi diberi nafas menggunakan genre baharu itu terus melonjakkan nama mereka pada tahun 2010. Sehingga kini masih ramai peminat mereka yang meminta untuk mempersembahkan single itu setiap kali Stubborn muncul di atas pentas.

Secara keseluruhan, kumpulan ini membawa konsep Punk Rock (Jepun dan Amerika Syarikat) dalam kebanyakan lagu mereka dan nyata berkesan apabila peminat muzik indie tanah air menerimanya walaupun genre berkenaan masih baharu.

“Irama yang kami bawakan masih fresh dan ia sangat membantu perkembangan karier kami, sekali gus menjadi identiti kami termasuk pembawaan irama Melayu laju.

“Kami juga sentiasa menghasilkan lagu-lagu yang mempunyai jalan penceritaan yang dekat dengan masyarakat kita di samping menyelitkan mesej berunsurkan nasihat dan hakikat di zaman moden ini," katanya.

Baru-baru ini, Stubborn telah melancarkan single terbaru mereka yang bertajuk Heyy Kirana pada Mac lalu berserta penghasilan video klip yang dilakukan dengan kerjasama Pengarah Lemediator Production, Idham Md. Din menggunakan teknologi skrin hijau.

Single ini lebih bercirikan Pop Punk dan juga Dance yang mengisahkan seorang insan melalui satu proses yang sukar untuk menyampaikan hasrat tetapi menunggu saat yang tepat supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Kepada anda yang masih tidak berpeluang mendengar genre unik yang dibawa oleh kumpulan ini, apa kata anda dengar sendiri dengan melayari www.facebook.com/stubbornmalaysia, www.twitter.com/wearesostubborn, www.youtube.com/stubbornmalaysia atau stubbornband@yahoo.com.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top