Rocktone perkenal metal kemelayuan

Kumpulan Rocktone mempunyai cara mereka sendiri untuk memastikan irama metal yang diperjuangkan diterima oleh peminat muzik tempatan. Mereka menyuntik elemen kemelayuan dalam irama keras yang dimainkan agar ia lebih mudah memikat hati pendengar sebelah sini.

Rocktone yang dianggotai Ahmad Zamri Mat Said, 42, Mohd Sobri Mohd Idris, 42, Shahrul Rizal Hatzir, 29, Arif Subari Mohd Badari, 37, dan Abdul Rahman Hatzir, 40, perlu berbuat demikian kerana kata mereka, peminat di Malaysia sukar menerima muzik metal, tidak seperti di luar negara.


Menurut pemain gitarnya, Shahrul, di luar negara, muzik jenis itu lebih mendapat sokongan ramai.

Bukan hendak berbangga diri, tetapi apabila kami mempromosikan laman Facebook kami pada peringkat antarabangsa, ramai peminat luar yang memberikan sokongan. Daripada ratusan pengikut, kini kami sudah mempunyai lebih 14,000 penggemar di laman sosial terbabit.

Ada peminat dari Jerman, Bangladesh dan Indonesia, yang juga penggemar luar negara kami paling ramai. Kami berasakan, internet memainkan peranan besar dalam memperkenalkan muzik kumpulan ini. Kini, kami mahu menarik perhatian peminat tempatan pula, katanya.

Kata Shahrul lagi, jika bintang sensasi Korea, Psy, mampu melakukannya menerusi bantuan YouTube, sesiapa saja termasuk mereka juga mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

Dengan teknologi terkini seperti internet, kita mampu menarik lebih ramai pendengar. Oleh sebab itu, kami lembutkan sedikit muzik kami supaya orang ramai boleh mendengarnya seperti genre lain. Kami turut menyelitkan elemen kemelayuan dalam lagu kumpulan ini. Muzik kami juga bukanlah ganas kerana karya kami berkisar mengenai kehidupan anggota kumpulan ini sendiri, selain lagu berunsur nasihat, katanya.

Mereka turut memaklumkan Rocktone yang ditubuhkan pada 2006 kini muncul bersama album perdana, yang dihasilkan sepenuhnya oleh kumpulan itu sendiri.

Memuatkan enam lagu karya anggotanya, album terbabit bagaimanapun mendapat sentuhan adunan akhir daripada komposer berpengalaman, Fauzi Marzuki.

Lagu yang dimuatkan ialah 1Malaysia, Impian, Jiwa Besi, Khurafat, Phantomenon Dunia dan Raja Perwira. Jiwa Besi pula ialah antara lagu yang melonjakkan nama kumpulan dari Trolak, Perak ini. Kata Mohd Sobri atau Atan, lagu itu banyak membantu mereka menjuarai pelbagai pertandingan Battle Of The Bands.

Kami terpanggil untuk menghasilkan album ini bagi menghargai sokongan peminat selama ini, kata Mohd Sobri sambil menyatakan, mereka juga amat berbangga apabila diundang Astro dan RTM untuk mempersembahkan lagu 1Malaysia pada acara anjuran masing-masing.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top