Sinopsis Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman

Kisah mengenai kekecewaan hidup seorang penglipur lara, pencerita dan penghibur bernama Pak Hassan yang semakin dilupakan masyarakat berikutan perubahan teknologi terkini.

Biarpun kerjayanya sebagai penghibur, hidupnya sentiasa diduga hingga tertekan. Pak Hassan yang kecewa dengan keluarga dan adik-beradiknya, nekad membawa diri, isteri dan anaknya, Senah keluar dari kampung asalnya di Kelantan dengan membawa rebab.

Pak Hassan berhijrah ke merata tempat untuk menghiburkan masyarakat bermula di selatan tanah air dan akhirnya singgah di Kuala Selangor. Pak Hassan mula diuji dengan kematian isteri kesayangan, Selamah ketika melahirkan Mat Junuh, yang terencat akal sejak lahir.

Jalan cerita disampaikan dalam bentuk imbas kembali 17 tahun lalu ketika Pak Hassan mula tiba di kampung Kuala Selangor. Pada perkembangan cerita, Pak Hassan sangat diterima oleh penduduk kampung ditambah pula kedatangan tentera Jepun yang semakin hampir dengan kampung mereka.

Keperibadian Pak Hassan yang ceria, peramah, pandai menyampaikan cerita dan suka bergurau membuatkan orang kampung tidak berasa janggal dengan Pak Hassan. Akhirnya, Pak Hassan dipelawa untuk terus menetap di kampung itu. Tambahan pula, kasih sayang Senah kepada Mat Junuh amat kuat dan Mat Junuh selalu menganggap Senah sebagai emak sendiri.

Cerita ini semakin rumit apabila Mat Junuh tanpa disengajakan, mengoyak kulit kepala Aziz, anak Ramli ketika bermain aksi lanun. Senah pula diperkosa oleh lelaki yang memakai topeng ketika hendak mengambil wuduk di perigi.

Kemuncaknya apabila berlaku pergolakan jiwa dialami Pak Hassan selepas Senah dan Mat Junuh melarikan diri.

Kehilangan mereka membuatkan kehidupan Pak Hassan murung, sedih dan kecewa. Ternyata, ia amat mengganggu dan menguji keimanannya untuk reda dengan ketentuanNya. Kisah ini berakhir apabila mayat Pak Hassan dijumpai Paman Bahari ketika sedang meninjau kebunnya.

Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman

* Terbitan: Balang Rimbun Sdn Bhd

* Penerbit: Syahid Johan

* Pengarah: Sabri Yunus

* Skrip: Sabri Yunus

* Karya Asal: Datuk Dr Anwar Ridhwan

* Pelakon: Wan Hanafi Su, Namron, Mardiana Alwi, Amirul Affendi, Zul Huzaimi dan Bohari Ibrahim *

Telefilem Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman arahan Sabri Yunus akan disiarkan menerusi slot Supertele di Astro Box Office (saluran 952) pada 1 Jun 2013.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top