Bukan kecewa dengan kontroversi yang sering dikaitkan dengannya, sebaliknya pelakon muda meningkat naik Miera Leyana memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi tumpuan kepada bidang perniagaan sebagai jaminan masa depannya.

Pemilik nama sebenar Miera Leyana Kasmi yang berusia 20 tahun ini berkata, dia percaya usia muda bukan penghalang buatnya mengejar impian menjadi usahawan wanita yang berjaya.

"Selain berlakon, saya memang minat dalam bidang perniagaan sejak dulu. Saya sudah berfikir ke depan iaitu untuk tempoh 10 tahun yang akan datang. Ibu bapa yang memang terbabit dalam bidang perniagaan menjadi pembakar semangat untuk saya menceburi bidang ini.


"Lagipun sampai bila saya akan terus berlakon kerana setiap hari pasti akan muncul bakat baru yang lebih berbakat, muda dan jelita mewarnai persada hiburan tanah air. Bukan saya takut, malah saya anggap ia persaingan sihat. Cuma bidang perniagaan ini sebagai persediaan masa depan," katanya.

Pelakon yang muka dikenali dalam drama Luna Fantasiku dan Apa Itu Cinta ini berkata, dia bertuah kerana ibu bapa sentiasa menyokong minatnya sejak dulu.

"Mereka merestui minat saya dalam bidang lakonan asalkan saya tahu batasnya. Kalau boleh saya ingin kedua-dua bidang yang diceburi sama ada lakonan mahupun perniagaan bergerak seiringan," katanya.

Ditanya bidang perniagaan yang ingin diceburinya, pelakon kelahiran Johor Bahru yang sinonim dengan imej seksi ini berkata semuanya masih dalam perbincangan lagi.

Namun katanya, ia bukan dalam bidang kecantikan atau produk kesihatan sebagaimana yang diusahakan kebanyakan selebriti lain.

"Keluarga saya terbabit dalam bidang hartanah, tetapi saya lebih meminati bidang permotoran.

"Saya masih mencari mana-mana yang sesuai. Bidang permotoran juga bukan mudah, banyak kajian dan perancangan perlu dilakukan sebelum menceburinya," katanya.

Serik bercinta dengan selebriti

Selepas putus cinta dengan pelakon kacak Shah Jaszle, Miera akui serik untuk bercinta dengan golongan selebriti.

Menurutnya, pengalaman perit putus cinta dulu banyak mengajarnya dalam hidup.

"Saya akan cuba mengelak dari bercinta dengan selebriti lagu selepas ini kecualilah jika jodoh saya memang dengan mereka," katanya.

Namun, hingga saat ini, Miera akui masih belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hatinya itu.

"Saya mempunyai ramai kawan lelaki, tapi yang serius belum ada lagi. Kriteria lelaki yang saya cari ialah seorang yang matang dan berjiwa lasak seperti seorang pelumba kereta atau motosikal di litar.

"Walaupun paras rupa bukanlah ukuran, tapi kalau boleh, biarlah lelaki yang bakal menjadi teman istimewa saya itu sedap di mata yang memandangnya," katanya.

Berbicara mengenai karier seninya, Miera berkata, buat masa ini dia tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama mahupun filem.

"Drama terbaru lakonan saya Asmara Luna kini ditayangkan di stesen TV3, manakala filem Balada Pencinta akan menjengah pawagam seluruh tanah air pada 24 Oktober nanti.

"Apa yang menarik dan mencabar, saya bawa watak gadis bernama Ayu yang bercinta dengan lelaki bisu dalam filem ini," katanya.

Apapun, kata Miera, dia juga lebih selektif menerima tawaran berlakon kerana ingin fokus pada perniagaan selepas ini.

"Buat masa ini, saya hanya berminat untuk mengambil projek filem dan telefilem saja kerana ia tidak membabitkan tempoh penggambaran yang panjang.

"Jika projek drama bersiri ia membabitkan tempoh selama lima hingga enam bulan berkampung di lokasi," katanya.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Apokalips, Rentaz, Jangan Pandang-Pandang, Cinta Atas Tar, Pecah dan Tingkat 4.

~ HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top