Hubungan pelakon Tasha Shilla dengan pemain bola sepak Kebangsaan dan pasukan Selangor, Mahali Jasuli, diperagakan di depan khalayak.

Tasha kerap menemani Mahali ke stadium. Sebab itu banyak yang anggap mereka sedang bercinta.

Tetapi apabila ditanya, Tasha menafikan perkara itu sambil memberitahu, Mahali tidak lebih sekadar kawan baik. Nampaknya masyarakat kita masih kolot tidak dapat membezakan antara 'berkasih' dan 'berkawan'.

"Tak habis-habis orang bertanya pasal hubungan saya dan Mahali. Kami ini cuma kawan baik. Iya, memang benar saya selalu menemani dia di stadium. Salahkah saya datang menyokong dia?" soalnya.

Dia mengaku rimas dengan desakan peminat supaya dia mengaku sahaja status hubungannya dengan Mahali. Tetapi kata Tasha, dia tidak perlu mengikut kata orang.

Baginya, setakat ini dia tahu status sebenar antara dia dan Mahali dan itulah yang diberitahu kepada umum.

"Tiada apa yang nak disorok. Berulang kali dah saya katakan, kami tak bercinta. Memanglah kami rapat tapi nama pun kawan.

"Macam mana nak beritahu, saya memang tak bercinta dengan dia pun," katanya tegas.

Tasha yang kini sibuk dengan penggambaran drama untuk sebuah stesen televisyen juga mengaku bahawa dia sedar banyak pihak menuding jari padanya apabila Mahali tidak lagi mampu mengekalkan prestasi di padang.

Merasakan hal itu tak sepatutnya berlaku, kata Tasha, dia berharap agar masyarakat tidak menyalahkan dirinya apabila menyentuh isu itu.

"Kenapa bila prestasi Mahali merosot orang tuduh sebab dia berkawan dengan sayalah. Kalau prestasi dia baik dan cemerlang, tak ada pula orang nak kaitkannya dengan saya? Yang buruk, yang tak elok orang tuduh sayalah?

"Bagi saya, mungkin keadaan itu berlaku disebabkan kecederaan yang dialami.

"Kalau tak puas hati juga, cuba pergi tanya dengan jurulatih dia, Rajagobal. Dengar apa jawapan dia dan jangan tanya saya," katanya.

Dalam pada itu, menurut Tasha, dia juga tahu bahawa dia pernah menyatakan kesediaannya untuk berkahwin.

Mengulas mengenai hal itu kata Tasha, dia bagaimanapun tidak dapat meletakkan tarikh atau sasaran untuk itu.

"Jodoh itu kan ketentuan Tuhan. Sebelum ini saya memang pernah cakap yang saya dah bersedia nak kahwin.

"Tapi dengan siapa, saya pun tak tahu. Itu rahsia Dia. Saya serahkan saja pada Tuhan. Cakap lebih-lebih pun tak ada gunanya," katanya ringkas.

Mengulas lanjut kata Tasha, dia juga tidak meletakkan spesifikasi dalam menjalin hubungan dengan lelaki.

"Saya masih muda. Saya berkawan saja dengan semua orang. Apa yang saya boleh katakan setakat ini, saya tak ada teman yang benar-benar istimewa. Apa pun, doakan saya untuk mendapat yang terbaik," demikianlah kata-kata klise yang selalu kita dengar dan Tasha bercakap perkara yang serupa.
~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top