Kontrak yang ditandatangani 2NE1 bersama label rakaman, YG Entertainment 3 tahun lalu melarang mereka menjalin cinta pada tiga tahun pertama mereka bergelar artis.

Butiran kontrak itu bagaikan menjadi badi kepada Dara atau nama sebenarnya, Sandara Park, 28, yang mendakwa selepas perjanjian itu berakhir tahun lalu, dirinya kurang bernasib baik kerana masih bersendirian tanpa teman lelaki.

"Larangan untuk bercinta sudah ditarik balik tetapi ia tidak membawa apa-apa perubahan dalam hidup saya," kata Dara ketika muncul dalam program televisyen, Sketchbook, baru-baru ini.

Gadis kelahiran Busan, Korea itu turut mendakwa, pengurus 2NE1, Yang Hyun Suk pernah memberitahunya, dia sanggup membunuh mana-mana jejaka yang diperkenalkan Dara sebagai teman lelakinya.

"Saya tidak tahu sama ada dia membenarkan kami menjalin cinta atau sebaliknya," kata Dara yang membuatkan seluruh studio gamat dengan ketawa.

Hos program itu, Yoo Hee Yeol bagaimanapun, cuba menenangkan Dara apabila berpendapat, apa yang dilakukan Yang itu tidak lebih seperti seorang bapa melindungi keselamatan anak gadisnya.

"Mungkin dia memikirkan dirinya seperti bapa, manakala 2NE1 ialah anaknya. Apabila tepat masanya, jejaka itu pasti akan datang. Dia mungkin ada berdekatan dan jangan melihat terlalu jauh," katanya.

Pada program yang sama, Dara turut menyatakan keinginannya untuk merakamkan album penuh yang mempunyai sentuhan akustik.

"Jika diberi peluang, saya ingin menghasilkan album akustik yang akan memberi saya nama jolokan, Goddess of Hongdae," katanya.

Dara turut melakukan kejutan apabila membawa gitar akustik dan mempersembahkan versi solo lagu popular 2NE1, Lonely.

Luahan Dara dalam Sketchbook itu bukan yang pertama kerana sebelum ini, dia pernah meluahkan kesulitan menemui lelaki bersesuaian sejak larangan berpacaran ditarik balik.

Ketika menjayakan showcase kemunculan semula 2NE1, sempena pelancaran album terbaru mereka, Falling In Love, bulan lalu, Dara meluahkan kehidupan sosialnya tidak berjalan seperti yang diimpikannya.


"Saya kasihan dengan diri sendiri. Tahun lalu ketika larangan itu masih berkuat kuasa, saya hanya terfikir untuk mematuhi apa yang diminta pengurusan kami.

"Tetapi apabila larangan itu ditarik balik, saya berasa pelik walaupun kini dibenarkan untuk bercinta dan mempunyai teman lelaki," katanya.

Melupakan kesepian dirinya, Dara mengalihkan perhatian dengan bermain gitar supaya tidak terus dibelenggu perasaan itu.

Malah gitar kesayangan yang diberi nama Vitamin itu turut menjadi peneman setia ketika dirinya dilanda kesedihan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top