Hanez Suraya serik 'selfie' dalam kereta

Terbuai dengan kecanggihan pelbagai gajet khususnya telefon bimbit boleh membuatkan pengguna leka. Apatah lagi sekiranya telefon bimbit mereka dilengkapi pelbagai aplikasi seperti Instagram dan Keek.

Pelakon berkulit putih gebu, Hanez Suraya mengakui dia suka mengambil gambar sendiri atau bahasa orang muda sekarang 'selfie' dan memuat naik ke Instagram.

Setiap kali memandu, Hanez akan pastikan telefon bimbit berada dekat dengannya bagi memudahkan dia mengambil gambar.

"Saya tidak tahu kenapa rasa serba tidak kena jika tidak pegang telefon bimbit. Saya suka ambil gambar sendiri dan muat naik dalam Instagram," katanya.

Sempena kempen kesedaran keselamatan jalan raya anjuran PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Media Prima Digital (MPD) yang berlangsung baru-baru ini, Hanez berikrar mengubah sikap buruk itu.

Akuinya, gara-gara terlalu obses dengan aplikasi telefon bimbit, dia hampir terjebak dengan kemalangan. Kejadian itu buat dia sedar bahaya menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Ketika itu saya belum biasa dengan skrin sentuh dan masih dalam proses menyesuaikan diri. Mahu balas SMS (khidmat pesanan ringkas) pun kena tengok betul-betul huruf yang mahu ditaip.

"Disebabkan terlalu fokus dengan skrin, saya hampir melanggar kereta depan. Nasib baik sempat brek. Trauma dengan insiden itu, saya jual telefon itu.

"Kini saya berusaha mengurangkan tabiat itu. Nak buang terus, tak boleh, jadi kenalah ubah sedikit demi sedikit. Kadangkala, bila bosan berhenti lama di lampu isyarat, itu yang ambil gambar," katanya tersenyum

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top