Penyanyi Farawahida berdebar menantikan saat disatukan bersama pilihan hatinya, Abdul Shukur Mod Zain, pada 16 Disember nanti.

Sibuk membuat persiapan akhir menjelang hari bahagianya, Farawahida bersyukur kerana mendapat bantuan daripada perunding perkahwinan, Empayar Che Det, yang menguruskan perjalanan majlis pernikahan dan perkahwinannya itu.

Memilih kampung halamannya di Taiping, Perak, sebagai lokasi perkahwinan, majlis yang dilangsungkan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping itu diadakan serentak bersama pihak lelaki.

Seramai 3,000 tetamu diundang oleh kedua-dua pihak bagi memeriahkan majlis.

"Dari segi persiapan, sebanyak 95 peratus sudah pun dilakukan, manakala hantaran pula sudah dibuat sejak awal tahun lagi. Fara juga memang ada mendapat tajaan dari segi dekorasi untuk majlis pernikahan dan perkahwinan, namun perbelanjaan sendiri memang sesuatu yang wajib.


"Kami mengadakan sekali majlis perkahwinan kerana berasakan ia lebih memudahkan kedua-dua pihak. Lagi pun, kenalan dan keluarganya ramai di Pulau Pinang. Majlis nikah dilangsungkan pada sebelah siang dan pada malamnya diadakan majlis bersanding," katanya.

Perkenalannya dengan Pembantu Pakar Jantung itu selama lapan tahun, membawa perhubungan mereka ke jenjang pelamin, tanpa ikatan pertunangan.

Masih mencari lokasi yang sesuai untuk berbulan madu, penyanyi berusia 28 tahun ini memilih lokasi dalam negara sebagai tempat percutian prabulan madu memandangkan kesibukan tugas masing-masing.

"Alhamdulillah, dia tidak menghalang Fara untuk meneruskan kerjaya seni dan sejak awal perkenalan, dia sudah mengetahui mengenai diri dan pekerjaan Fara.

"Sekarang ini pun, selain sibuk membuat persiapan perkahwinan, Fara tetap memikirkan soal kerjaya muzik. Selepas kahwin, Fara berharap dapat muncul dengan single kedua dan ketika ini kami masih mencari material yang sesuai untuk tujuan itu," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan mengatakan dia mengeluarkan belanja RM500,000 untuk majlis bersejarahnya itu, Fara berkata, jumlah berkenaan ialah nilai tajaan yang diterimanya untuk persiapan kedua-dua acara terbabit.

"Fara sendiri tidak mempunyai modal sebanyak itu. Alhamdulillah, rezeki orang nak bagi kita, jadi kita terima. Kos terbabit membabitkan dekorasi dan persiapan majlis, manakala Fara keluarkan modal untuk jamuan dan hantaran," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top