Arill (Muhammad Fhazrill Fesol) 15, mula digilap menerusi program mencari bakat kanak-kanak, Idola Kecil musim kedua dan kini mula berjinak-jinak mengembangkan bakat lakonan menerusi drama-drama tempatan.

Tidak hanya membataskan bakatnya dalam bidang nyanyian sahaja, Fhazrill atau lebih dikenali dengan nama Arill akui bidang lakonan yang diceburi sejak tamat menyertai program nyanyian itu banyak memberinya pengalaman yang berharga.



Menurutnya, walaupun pada awalnya dia merancang menumpukan karier nyanyian sepenuhnya, namun tawaran lakonan yang tidak putus-putus membuatkan dia mengambil keputusan untuk aktif terhadap dua bidang itu.

"Selepas tamat dengan Idola Kecil, saya dan semua peserta yang lain ada berlakon dalam Idola Kecil The Series dan sejak itulah banyak tawaran lakonan yang saya terima.

"Saya akui kini sudah mula jatuh cinta dengan bidang lakonan," katanya.

Pun begitu, Arill tidak berhasrat untuk melupakan bakat nyanyiannya malah dia memberitahu mahu seimbangkan kedua-dua bakat yang dimilikinya.

"Saya akui rezeki dalam bidang lakonan boleh dikatakan lebih menyebelahi saya berbanding nyanyian. Tapi itu bukanlah satu alasan untuk saya terus mengabaikan bakat nyanyian saya kerana itulah minat saya sejak dari kecil.

"Memandangkan umur saya masih muda, banyak masa yang boleh saya gunakan untuk memperbaiki kedua-dua bidang ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri dalam slot Aksi Karlos di Seri Pentas minggu lalu.

Karlos paling mencabar

Berkongsi pengalaman mengenai lakonan menerusi drama Karlos, Arill mengatakan inilah kali pertama dia membawa watak mencabar sebagai Irwan Zaid atau Karlos ketika kecil.

Menurutnya, watak yang dibawa tidak mudah kerana ia memerlukan penghayatan yang mendalam dan sebagai persiapan awal dirinya mengkaji karakter itu menerusi drama-drama lain.

"Walaupun sudah banyak drama yang saya lakonkan, tapi inilah watak yang paling mencabar yang pernah saya bawa setakat ini.

"Boleh dikatakan Irwan adalah seorang yang malang dan sejak kecil dia akan dipukul oleh bapanya dan apa yang sukar, saya perlu banyak menangis dan saya akui itulah perkara yang mencabar dalam lakonan ini,"katanya.

Mengetahui pelakon Johan As'ari yang turut membawa watak yang sama cuba merujuk lakonannya untuk mendalami karakter Irwan ketika zaman remaja, Arill akui bangga dengan perkara itu.

"Saya pun tidak sangka Johan melihat lakonan saya sebagai rujukan buat dirinya mendalami watak sebagai Irwan.

"Bagaimanapun, saya akui masih banyak yang perlu diperbaiki. Kalu boleh, saya mahu pergi lebih jauh untuk buktikan kemampuan saya dalam bidang ini," katanya.

Fokus PMR

Bercerita mengenai peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang akan dilaluinya akhir tahun ini, Arill mengatakan dia mungkin akan hentikan bidang lakonan dan nyanyiannya sementara untuk beri tumpuan terhadap pelajarannya.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri ini, pembahagian masa yang tepat antara pelajaran dan karier seni amat penting buat dirinya yang masih berada di bangku sekolah.

"Mungkin bermula Julai ini, saya akan hentikan aktiviti seni saya buat sementara waktu. Bagi saya pelajaran juga penting kerana ianya akan menentukan masa depan saya

"Dengan adanya sokongan dan dorongan daripada keluarga dan peminat yang ada, saya akan berusaha keras untuk beri yang terbaik," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top