Percubaan pertama pelakon, Adi Putra mengarah dan menerbitkan filem sulungnya, Suami Aku Ustaz adalah langkah berani, sekali gus membuatkan peminat ternanti-nanti berikutan pelakon kelahiran Singapura itu sendiri yang bakal membintangi filem pertamanya itu.
Menerusi syarikat produksi miliknya, Nur ADP Sdn Bhd, Adi berkata, dia memilih bandar raya bersejarah Melaka sebagai lokasi sepenuhnya penggambaran yang bakal bermula 20 April ini dengan kos RM1.5 juta.
Selain Adi Putra, Nora Danish turut berlakon dalam filem itu. "Saya mengadaptasi 80 peratus daripada jalan cerita novel Suami Aku Ustaz nukilan Hannah Dhaniyah dan 20 peratus lagi saya olah dalam bentuk filem.
"Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Nur Alisa berusia 17 tahun yang dipaksa bernikah dengan abang sepupunya berusia 30 tahun yang juga seorang ustaz di sekolahnya. Dia dipaksa bernikah kerana ibu bapanya mahu mengerjakan ibadat haji di Makkah.
"Dalam dilema dan perbezaan usia yang ketara, Nur Alisa lakonan Nora Danish melalui pelbagai konflik untuk menerima Ustaz Hafiz lakonan saya sendiri," katanya.
Menurut Adi, dia memilih Melaka sebagai lokasi penggambaran selama 25 hari kerana tertarik dengan keunikan kebudayaan dan bangunan tradisional yang masih terdapat di situ.
"Saya memilih Melaka kerana sebelum ini pernah mengkaji beberapa karyawan yang mengadakan penggambaran di lokasi berlainan tetapi tidak ada yang memfokuskan 100 peratus lokasi sama.
"Di Melaka, saya tertarik dengan keunikan kebudayaan itu sendiri dan seni bangunannya yang masih kekal. Seperti di lokasi penggambaran pilihan saya di Serkam Pantai yang terdapat rumah tradisonal dan masih mempunyai elemen Melaka iaitu keunikan tangga batunya," katanya.
Ketika ditanya mengenai sasaran pulangan filem itu nanti, Adi mengakui, dia belum memikirkan hasil yang bakal diperoleh menerusi filem sulungnya itu.
Secara jujurnya, dia sendiri mahu peminat menilai sendiri buah tangan yang bakal dihasilkan dengan kerjasama pengarah Ghaz Abu Bakar.
"Dalam perancangan, saya juga mahu membawa filem ini ke Doha, Qatar suatu hari nanti kerana di sana juga adalah sebuah negara Islam. Insya-Allah filem ini nanti akan mengekalkan bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu dan hanya ditambah sari kata bahasa Inggeris.
"Dalam cerita ini nanti, saya masih berunding untuk mengambil pelakon tambahan daripada anak tempatan Melaka. Walaupun saya lahir di Singapura, saya juga sebenarnya mempunyai darah keturunan Melaka kerana arwah nenek saya berasal dari Bukit Cina," katanya.
Adi memberitahu filem pertamanya itu bakal menemui peminat di seluruh negara pada awal tahun depan selepas melalui proses suntingan dalam tempoh lapan hingga 10 bulan.
Beliau berkata, filem itu pastinya bertambah menarik dengan gandingan Nora Danish yang sengaja dipilih kerana keserasian mereka, selain tubuh kecil molek pelakon itu yang sesuai untuk watak Nur Alisa berusia 17 tahun.
Sementara itu, Nora berkata, dia cuba melakonkan watak Nur Alisa dengan baik bagi menghidupkan watak seorang remaja yang masih bersekolah menengah.
"Apa yang menarik, filem ini bakal membawa peminat melalui pengalaman berbeza seorang gadis yang mempunyai suami ketika usia muda. Apabila perasaan rindu itu datang dengan sendirinya, seseorang itu dapat mengerti perasaan kasih sayang," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan