KL International Jazz Festival 2013
Penerimaan muzik jaz di negara ini masih lagi belum diterima secara meluas seperti negara-negara maju lain.
Pengerusi Eksekutif KL International Jazz Sdn Bhd, Maizon Omar berkata, ia kerana muzik ini kurang diberi pendedahan secara umum oleh media terutamanya di televisyen mahupun radio.
"Berbanding negara-negara maju lain, jaz kurang didedahkan di negara ini. Namun tidak bermakna muzik ini tiada peminat-peminatnya.
"Ini kerana banyak anjuran persembahan muzik jaz di restoran-restoran dan 'coffee house' mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
"Saya percaya peminat-peminat jaz akan lebih berkembang apabila ia didedahkan dalam pelbagai sudut termasuklah di televisyen, radio atau pelbagai anjuran persembahan," katanya.
Pihaknya menganjurkan festival berkenaan dengan kerjasama pihak UM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ia bakal berlangsung selama empat hari bermula 27 April 2013 di universiti itu.
Tambah Maizon, acara ini juga diadakan bagi menarik perhatian masyarakat secara meluas tentang kehebatan muzik jaz di mana ia melibatkan sebanyak 35 pemuzik antarabangsa dan 40 pemuzik tempatan.
Menurut pengarah urusan KL International Jazz, Rodin JS Kumar pula, festival ini bukan sebuah acara muzik jaz biasa kerana ia diperkembangkan lagi dengan persembahan muzik genre lain seperti Straight-ahead Jazz, Jazz Rock Fusion, Hip-Hop Jazz, dan Blues
"Barisan pemuzik-pemuzik jaz antarabangsa juga bukan calang-calang kerana antara yang terbabit termasuklah gitaris jaz kontemporari, Lee Retenour, gitaris fusion, Chuck Loeb, Jessy J (Amerika) dan pemain piano Jepun, Keiko Matsuia.
"Selain itu Rudresh Mahantappa (Italy), Kazutoki Umeza Kiki (Jepun), Jeremy Monteiro (Singapura) dan Indra Lesmana (Indonesia) turut menjayakan festival ini.
"Manakala Patrick Terbrack, The Vasement Syndicate, John Thomas Trio, John Dip Silas dan Steve Thornton pula mewakili Malaysia," ujarnya.
Beritahu Rodin, pada festival itu nanti, terdapat empat pentas termasuk pentas terbuka dan tertutup selain pelbagai aktiviti-aktiviti menarik diadakan seperti pameran lukisan dan menaiki belon panas.
Sementara itu, seminggu sebelum festival berkenaan bermula, larian KLIJF Earth Day Run turut diadakan iaitu pada 21 April 2013.
Bagi yang ingin hadir pada KLIJF, harga tiket bermula RM45 hingga RM168 boleh ditempah menerusi www.klinternationaljazz.com.
0 ulasan:
Catat Ulasan