Hanya sekelip mata keceriaan dipamerkan pelakon baru, Syatilla Melvin sebelum ia bertukar emosi saat dia dipujuk bercerita mengenai lelaki bernama Shaheizy Sam.

Katanya, reaksi spontan itu terjadi kerana hatinya sebak apabila desas-desus mengaitkan dirinya dengan aktor popular itu semakin mengganggu perasaan kebelakangan ini.

Siti Nur Syatilla Amirol Melvin bukan lelah dengan gosip yang makin rancak dicanangkan itu, tetapi situasi sebenar cerita dirinya dan Sam rumit untuk dihuraikan kepada khalayak.

Justeru, pelakon berusia 22 tahun ini lebih senang mengunci mulut daripada bercerita panjang lebar. Baginya, cukuplah dia menyifatkan hubungan mereka sekadar teman rapat sejak dua tahun lalu.



"Bukan saya mahu mengelak atau berdolak-dalih mengenai dakwaan hubungan cinta dengan Sam tetapi hakikatnya, ia terlalu rumit untuk dikongsi pada waktu ini.

"Cukuplah saya katakan kami berkawan rapat sejak dua tahun kebelakangan ini. Selebihnya, biarlah masa yang menentukan," tuturnya mengawal emosi.

Mendengarkan nada terkilan yang diluahkan gadis kelahiran Pulau Pinang ini, Syatilla ditanya adakah dia menyembunyikan sesuatu mengenai status sebenar hubungan mereka namun persepsi itu pantas ditepis.

Katanya, sebagai wanita dia tidak mahu terus heboh membuka cerita mengenai sesuatu yang tidak pasti kerana ia tidak manis dan mungkin membuka pandangan serong khalayak pula.

"Kalau boleh, saya memang tidak mahu lagi mengulas mengenai perkara ini (gosip cinta). Tidak manis pun untuk perempuan bercerita itu dan ini mengenai sesuatu yang belum pasti.

"Saya tidak mahu orang tersalah sangka atau berpandangan serong menganggap saya perempuan yang tidak baik apabila bercakap lebihlebih mengenai kes ini," katanya sambil berharap supaya gosip dengan Sam segera bernoktah.

Apabila ditanya keistimewaan Sam di matanya, Syatilla tidak mampu menolak kenyataan lelaki itu memiliki sikap yang menawan hati.

Katanya, aktor kesayangan ramai itu bukan saja manja dan kelakar sebagai sahabat, malah dia juga lelaki yang begitu mengambil berat dan memahami dirinya.

"Saya selesa dan senang berkawan dengan Sam. Dia seorang rakan yang baik dan memahami saya seadanya. Pendek kata, dia bukan saja penghibur hati saya ketika sedang bersedih atau tertekan malah begitu mengambil berat. Kami banyak berkongsi pendapat mengenai kerja," katanya.

Bagaimanapun, tatkala diusik tidakkah keserasian dan saling mengenali itu memudahkan proses perkongsian hati, Syatilla berkata, dia enggan memikirkan soal berkenaan dan menyerahkannya pada takdir.

"Saya tak nak fikir lebihlebih mengenai hala tuju hubungan ini. Kalau ditakdirkan ada jodoh dengan dia, saya terima. Sebenarnya, saya tidak tolak jodoh walau dengan sesiapa pun, cuma kebetulan sekarang orang kaitkan saya dengan Sam, sebab itu timbul spekulasi begini," katanya.

Rindu aktiviti lasak

Sekali pandang, anak kedua daripada lima beradik ini mungkin tidak banyak berbeza daripada acuan semula jadi wanita yang ayu dan lemah lembut.

Ironinya, kata Syatilla, ramai yang mudah tersalah sangka dengan penampilan luarannya.

"Sebenarnya saya seorang gadis yang lasak cuma ramai yang tersalah anggap dengan penampilan luaran saya. Naluri kewanitaan masih kuat tetapi saya bukan tipikal wanita yang lemah lembut. Saya suka pada aktiviti lasak dan aktif," katanya.

Tambah Syatilla, sifat aktif dan lasak dalam dirinya disemai secara semula jadi sejak kecil kerana banyak menghabiskan masa mengikuti bapanya melakukan pelbagai aktiviti yang digemari lelaki.

"Saya suka berkonvoi dengan motosikal berkuasa tinggi sebab aktiviti itu sering saya lakukan bersama bapa ketika remaja dulu. Kalau hendak tahu, saya boleh menunggang motosikal besar tetapi sudah lama tidak berpeluang untuk sertai konvoi motosikal apabila usia meningkat.

"Saya semakin sibuk dengan kerjaya seni manakala bapa pula semakin meningkat usia dan sudah lama tidak terbabit dengan program begitu. Saya rindu kenangan itu," katanya yang berhasrat untuk memiliki motosikal jenis Ducati kelak.

Jatuh cinta pada lakonan

Pada awal kemunculannya dalam bidang ini, dia langsung tida bermimpi untuk bergiat serius sebagai pelakon. Ini kerana kecenderungan sebagai model yang menjadi permulaan kerjaya selepas tamat sekolah masih menebal dalam diri.

"Saya ceburi lakonan pun selepas terbabit dalam program Dewi Remaja 2010 dan pada awalnya saya kurang minat berlakon. Minat saya kuat pada bidang peragaan tetapi tidak sangka lama kelamaan selepas terbabit dalam pelbagai projek drama, makin jatuh hati dengan lakonan pula," katanya.

Malah, Syatilla berk ata, dia mahu mendalami dan menimba lebih banyak ilmu lakonan daripada pelbagai pihak termasuk kelas lakonan bagi menga sah potensinya.

"Sekarang minat pada lakonan semakin mendalam. Saya mahu jadi pelakon yang lebih baik pada masa depan. Insya-Allah, saya berhasrat untuk mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi apabila berkesempatan nanti kerana saya kagum dengan la kona nnya," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Wasilah Cinta arahan Murali Abdullah.

Menyusul dalam jurnal seninya, kata Syatilla, dia akan terbabit dalam beberapa projek drama bersiri Kalau Bukan Aku dan Epilog Cinta Kirana untuk TV3, tidak lama lagi.

Sebelum menamatkan perbualan, Syatilla berkata, dia juga teruja untuk membintangi filem pertamanya, Romeo Kota di samping Aaron Aziz, Ahmad Nabil Ahmad dan Hanis Zalikha di bawah arahan Ahmad Idham bermula bulan depan.  ~HM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top