Pelakon Nora Danish semakin sibuk sekarang ini.
Melihat kepada laman instagram milik Nora Danish sejak kebelakangan ini, ternyata kebanyakannya adalah gambar-gambar dirinya ketika berada di luar negara.
Jelasnya, pemergiannya ke luar negara secara kerap sejak awal tahun ini bukanlah melancong semata-mata. Sebaliknya, ia lebih kepada tuntutan kerja.
"Pada bulan Januari saya telah berkesempatan pergi ke Jepun untuk menjalani sesi fotografi sebuah produk jenama terkenal setelah saya dilantik menjadi duta. Cuma saya tidak boleh umumkan jenama tersebut buat masa sekarang.
"Kemudian tidak lama selepas pulang dari Jepun, saya mengikuti pula rombongan bersama pengedar produk losen Mustajab ke Singapura memandangkan saya adalah duta kepada produk itu," jelasnya.
Menurut Nora, pada bulan lepas pula dia berkesempatan pergi ke Jakarta. Menariknya, pemergiannya itu bertujuan untuk menjayakan sebuah rancangan terbitan Astro berjudul Republik Cinta Ahmad Dhani sebanyak 10 episod.
Ujarnya, mendapat peluang menjadi pengacara rancangan tersebut memberikan kenangan tersendiri buat dirinya apabila berpeluang mengunjungi rumah komposer dan pemuzik popular itu.
"Sudah tentu saya berasa sangat bertuah kerana tidak semua orang yang dapat berkunjung ke rumahnya yang turut dijadikan studio. Ternyata ia satu pengalaman yang menarik apabila dapat mengenalinya dengan lebih dekat.
"Bagi yang tidak mengenali Ahmad Dhani secara dekat, pasti ramai menyangka dia seorang yang serius dan saya juga agak gementar semasa menemubualnya. Namun begitu, dia sebenarnya seorang yang sangat kelakar dan tidak sombong," ujarnya.
Mengenai perkembangan kerjaya lakonannya pula, Nora memberitahu dalam tempoh terdekat ini dia akan berlakon dalam filem Suamiku Ustaz dan sekali lagi dia akan bergandingan dengan Adi Putra selepas drama Tentang Dhia dan filem Aku Terima Nikahnya pada tahun lalu. ~ Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan