Rozita Che Wan telah menyambut hari jadi di sebuah restoran di pusat beli-belah urban, Publika di Solaris Dutamas, yang diraikan Zain dan teman rapat dalam majlis yang dirancang atas inisiatif penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh.

Dibantu Zain yang menjadi ‘umpan’ untuk membawa hos Primadona itu ke majlis berkenaan, Rozita sama sekali tidak menyangka segala-galanya dirancang lebih awal.

“Pada pagi 9 Mac lalu, saya diraikan di set rakaman MasterChef Selebriti musim kedua di Shah Alam. Peserta lain termasuk Zain yang menyertai program realiti itu meraikan saya. Mereka menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi kepada saya.


“Sebelah malamnya pula, Zain mengajak saya menikmati makan malam di pusat beli-belah KLCC. Anak bongsu saya, Aniq Ezra dibawa sama. Selesai makan, kami menonton filem,” kata Rozita yang mengenakan persalinan gaun berwarna merah sedondon dengan Zain pada majlis itu.

Majlis itu turut dihadiri krew dan penerbit program bual bicara Primadona, Noor Haina Itam serta dua hos Primadona iaitu Erra Fazira dan Ziela Jalil. Tidak ketinggalan, Tasha Shilla dan Aiman Hakim Ridza.

Andai Zain menerima jam tangan jenama Maurice Lacroix daripada Rozita tempoh hari, Zain pula menghadiahkan gelang emas dari Habib Jewels buat cinta hatinya itu pada majlis berkenaan.
HIP yang diundang ke majlis itu, dimaklumkan Rozita turut diraikan keluarga tersayang bersama Zain di Subang pada sebelah petang.

Ditanya bagaimana rasanya meraikan hari jadi dengan status solo sebelum sah menjadi isteri Zain, akhir tahun nanti, Rozita tersenyum.

“Harapan saya begitulah. Kita hanya mampu merancang dan saya harap segala-galanya dipermudahkan,” katanya yang enggan bercerita lanjut mengenai perancangan perkahwinannya.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam program realiti MasterChef Selebriti bersama Zain, Rozita mengakui cukup teruja sejak memulakan penggambaran awal bulan ini.

“Berada dalam set penggambaran dengan Zain bukanlah suatu masalah atau menjadikan saya janggal. Kami bukan satu kumpulan. Saya diletakkan dalam kumpulan Enot dan Syanie Hisham.

“Apa yang menarik, ramai yang ‘satu kepala’ dengan saya dalam program itu. Malah, ramai yang suka buat lawak hingga menghiburkan. Sebenarnya, kami seperti tidak bertanding untuk menang dan seboleh-bolehnya mahu semua kekal bersaing tanpa ada penyingkiran,” katanya.

Rupa-rupanya, kali ini adalah tahun ketiga Zain dan Rozita meraikan hari jadi bersama.

Berkongsi pelbagai perkara, Zain membuka cerita Rozita sebenarnya adalah ‘hantu’ durian.

Tidak hairanlah kek hari jadi yang disediakan pada majlis itu adalah berperisa durian. Kek durian berbentuk patung memakai gaun itu ditempah khas untuk Rozita.

Apa yang menariknya, tanpa dirancang, gaun dan warna kek patung itu sama dengan busana merah yang dipakai Rozita.

“Kalau keluar bersama, kami selalu makan durian. Itu tak boleh dinafikan. Malah ketika sambutan hari lahirnya di KLCC tempoh hari, dia sempat membeli pelbagai jenis Durian Crepe,” katanya.

Zain berkata, dia berdoa perancangannya untuk memperisterikan Rozita secara sah dimakbul.

“Harap-harap ia akan jadi lebih bermakna dengan niat suci kami untuk bergelar suami isteri. Mana-mana pasangan bercinta pun mengharapkan pengakhiran yang indah untuk ke jinjang pelamin dan seterusnya bahagia ke akhir hayat.

“Ia lebih baik kerana kita boleh berkongsi banyak perkara bersama-sama. Susah senang bersama,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top