Teater muzikal Asmara Songsang
Gambaran situasi sebenar kehidupan LGBT dan aktiviti gelap mereka difokuskan dalam pementasan teater muzikal Asmara Songsang secara percuma di Lambang Sari, Istana Budaya pada 1 dan 2 Mac 2013 lalu.

Teater muzikal berlatar belakangkan sebuah taman yang menjadi markas sekumpulan remaja yang mengamalkan aktiviti songsang dengan diketuai oleh individu tertentu itu diarah dan skripnya ditulis Rahman Adam.


Pementasan teater 100 minit itu membariskan pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Razak Ahmad, Radhi Khalid, Kamal Adli, Julia Ziegler, Najwa P.Ramlee dan Chef Yang Jamil dan Abby Rossidi.


Pengarahan teater tersebut turut dibantu oleh penolong pengarah, Roscha, Lokman Ghani (pengarah artistik), dan Pak Ngah selaku pengarah muzik.


Menurut Rahman, karya terbaharunya menyentuh tentang penglibatan golongan LGBT dalam senario politik semasa seperti perhimpunan jalanan dan bukan secara sengaja memasukkan elemen tersebut tetapi hanya menggambarkan situasi sebenar yang pernah berlaku serta tidak tujukan senario itu kepada pihak tertentu.

"Pementasan teater ini adalah sebagai satu usaha membantu kerajaan menentang kewujudan LGBT yang semakin membimbangkan terutama dalam kalangan remaja.

"Dengan pementasan teater ini, ia dapat membuka mata masyarakat terutama ibu bapa yang menonton bahawa perkara itu tidak boleh terjadi di kalangan anak-anak mereka," jelasnya selepas pratonton teater itu baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan berkata, teater tersebut juga tidak mengharapkan keuntungan tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Katanya, kewujudan teater muzikal itu bukan untuk menghukum golongan LGBT tetapi berupaya untuk mendidik serta menyedarkan masyarakat dalam menentang penularannya.

"Kita juga berhasrat untuk membawa teater muzikal ini ke negeri lain dan setakat ini sudah ada beberapa pihak bersetuju," katanya.

Sementara itu, Julia Ziegler yang berlakon sebagai Safika berkata, teater tersebut agak menarik dengan menggabungkan tiga generasi pelakon.

"Saya sangat berpuas hati dengan lakonan pelakon-pelakon dalam pementasan teater ini terutama pelakon muda.

"Bagi saya yang membawa watak Ketua Pemimpin Wanita, saya sentiasa berlatih untuk mengadaptasikan watak saya agar tidak lari daripada peranan sebenar," katanya.





0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top